Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakDua minggu kuarantin tidak jejas Kpah Sherman

Dua minggu kuarantin tidak jejas Kpah Sherman

Meskipun melapor diri ke kem latihan Kedah Darul Aman FC lebih lewat berbanding pemain lain, ia tidak sedikitpun menjejaskan fokus, mentaliti dan prestasi penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman.

Pemain itu telah bersama pasukan kebangsaan Liberia untuk beberapa aksi antarabangsa pada bulan lalu dan sekembalinya ke tanah air, telah menjalani kuarantin dua minggu sebelum menyertai sesi latihan pada Ahad.

Kehadiran semula pemain berusia 29 tahun itu juga sekaligus melenyapkan kebimbangan penyokong-penyokong Lang Merah mengenai kemungkinan dia tidak sempat untuk bersama pasukan menjelang aksi pertama Liga Super selepas lebih dua bulan menentang Penang FC pada 24 Julai ini.

“Saya teruja dan kini bersemangat untuk kembali bersama pasukan Kedah bagi memulakan aksi liga selepas hampir dua bulan berehat.

“Fokus utama saya kini adalah persiapan yang diperlukan untuk bersama pasukan dan dalam tempoh enam hari perlu saya berada sebaik mungkin dari segala aspek koordinasi bersama rakan sepasukan.

“Saya dan rakan sepasukan berazam mahu memulakan aksi liga pada tahap yang terbaik dalam misi meletakkan kedudukan yang tertinggi dalam carta liga,” kata Kpah Sherman yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super 2019.

Sebagai rekod, Kpah Sherman meledak enam gol dalam Liga Super 2020 yang berlangsung separuh musim manakala musim ini dia telah menjaringkan sembilan gol untuk membantu KDA FC ketika ini meduduki tangga ketiga Liga Super dengan 26 mata, satu mata di belakang Terengganu FC dan empat mata di belakang pendahulu Johor Darul Takzim.

Dia juga sedang bersaing hebat untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super 2021 bersama-sama penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun (13 gol) dan penyerang JDT, Bergson Da Silva (11 gol) dengan Casagrande (7 gol) dan Paolo Josue (6 gol) mengekori di belakang.

Kalau diikutkan Kpah Sherman sepatutnya membantu KDA FC dalam saingan Piala AFC namun malangnya saingan itu yang pada mulanya dijadual bermula hujung bulan lalu terpaksa dibatalkan gara-gara tiada negara yang mahu menjadi tuan rumah zon Asia ASEAN selepas Singapura menarik diri.

Foto ehsan : kedahdarulamanfc.com

 

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.