Dua pemain KDAFC positif Covid, aksi menentang Penang FC ditunda

MFL pinda jadual terutama babitkan pasukan KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman FC (KDAFC) dan Penang FC yang dijadual berlangsung pada Sabtu (24 Julai) di Stadium Darul Aman terpaksa ditunda ke tarikh lain selepas dua pemain pasukan KDAFC didapati positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Malaysian Football League yang bersetuju untuk menunda perlawanan tersebut selepas mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan kes berkenaan dikesan.

“Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan KDAFC bahawa dua pemain disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan Camp Based Training bagi menjaga Gelembung Sukan.

“Justeru, perlawanan KDAFC dengan Penang FC terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan mengenai status semua pemain-pemain serta pegawai Kedah terlebih dahulu.

“Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif COVID-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan. Di sini pihak pengurusan Kedah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dato’ Ab Ghani berkata, tarikh baru perlawanan itu akan dimaklumkan kelak dan berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran Liga Malaysia 2021.

“Saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ini penting untuk melindungi diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti COVID-19. Liga Malaysia akan kembali bersambung pada esok 24 Julai 2021 dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini,” ujarnya.

Dengan penundaan perlawanan KDAFC dan Penang FC, maka hanya tiga perlawanan Liga Super akan berlangsung pada Sabtu iaitu Terengganu FC menentang Perak FC, KL City menentang Selangor FC dan PJ City bertemu Sabah FC manakala dua lagi perlawanan di antara Sri Pahang menentang Melaka United serta JDT menentang Uitm akan berlangsung Ahad.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.