Dua pengadil diambil tindakan, Jack Hindle dan Beto dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memandang ringan isu membabitkan pengadil yang hangat diperkatakan sejak bermulanya musim baru Liga Malaysia.

Pada perlawanan Liga Premier antara Kelantan FC dan Perak II yang berlangsung 6 Mac, pengadil Amirul Aizat Awang Lodin ditolak secara agresif oleh Jack Hindle menyebabkannya jatuh tergolek.

Ia dilihat berpunca berpunca daripada kedudukan pengadil itu di dalam kotak penalti yang menganggu Kelantan FC mengatur serangan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati Jack Hindle.

“Amirul Aizat telah didapati berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

“Biarpun secara keseluruhan prestasinya sepanjang perlawanan tersebut adalah memuaskan berdasarkan laporan daripada Penilai Pengadil, pengadil berkenaan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan.

“Ini bagi memperbaiki keupayaan jangkaan permainan, posisi dan pergerakkan dalam permainan dan hanya akan diberi lantikan semula untuk mengadili perlawanan akan datang selepas selesai program penambahabaikan dan penilaian dibuat terhadapnya.

“Jack Hindle pula akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya menolak pengadil secara agresif,” menurut kenyataan oleh FAM.

Berhubung insiden kesilapan membuat keputusan oleh pengadil Fairuzi Md Desa yang menghadiahkan penalti kepada PJ City ketika perlawanan menentang Melaka United pula, FAM menggantung pengadil itu selama dua minggu.

Pada perlawanan itu Mohd Fairuzi tetap dengan keputusan mahu memberikan sepakan penalti kepada PJ City walaupun jelas Ahmad Khairil Anuar atau Beto jatuh dengan sendiri, malah linesman juga dilihat telah memberikan pandangannya bahawa itu bukan penalti.

“Pengadil, Mohd Fairuzi telah didapati membuat kesilapan apabila gagal mengesan tindakan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan PJ City FC.

“Mohd Fairuzi telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta dan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.

“Pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC bagi mendapatkan sepakan penalti,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu tindakan pemain Melaka United FC, Alex dos Santos Goncalves sengaja membaling bola ke arah Mohd Fairuzi ketika meraikan gol kedua Melaka United pada penghujung perlawanan, turut dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.