‘Dulu no.3 kini no.1, keputusan tinggalkan Kedah ubah perjalanan karier saya’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Langkah berani diambil penjaga gol Muhaimin Mohamad untuk berhijrah meninggalkan Kedah bagi mendapatkan peluang bermain pada tahun 2015 ternyata menjadi keputusan tepat yang merubah perjalanan kariernya.

Ketika bersama Kedah bermula tahun 2011, Muhaimin sekadar menjadi penjaga gol ketiga namun dia tidak pernah sedikitpun berputus asa untuk mengorak langkah membina nama dalam arena bolasepak tempatan.

Namanya mula melonjak ketika bersama MIFA (kini PJ City) dan prestasi konsistennya menarik perhatian Nidzam Jamil yang merekrut Muhaimin untuk menjadi penjaga gol utama Felda United FC musim ini.

“Istilah putus asa itu tidak pernah ada dalam kamus hidup saya walaupun saya gagal mendapat tempat di Kedah yang ketika itu sudah ada beberapa penjaga gol berpengalaman.

“Mungkin bukan rezeki saya di Kedah pada waktu itu biarpun tiga musim menanti tetapi saya yakin dengan kemampuan diri saya yang membuatkan saya tekad untuk keluar.

“Keputusan saya berbaloi pada 2015 apabila dapat bermain selaku penjaga gol utama Kuala Lumpur sebelum saya buat keputusan ke PKNS pada musim berikutnya namun saya sekali lagi gagal meraih tempat selaku pemain utama.

“Saya bertindak memohon keluar ke MOF FC secara pinjaman pada pertengahan musim 2016 hingga 2017 biarpun terpaksa bermain di Piala FAM dan daripada situ saya mula membina karier sebelum segala-galanya berubah sebaik bersama MIFA pada 2018.

TERIMA KASIH K.DEVAN

“Saya mahu berikan kredit kepada K. Devan yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya kerana semasa di MIFA dan PJ City pada 2019, karier saya mula alami anjakan malah daripada situ, saya mula dikenali ramai penggiat bola sepak tempatan.

“Kini saya bersyukur rezeki saya masih cerah dalam bola sepak kerana bersama Felda United musim ini untuk musim kedua Liga Super, saya tekad mahu terus konsisten dalam tiap perlawanan yang dilalui,” katanya.

Muhaimin yang merupakan anak kepada bekas pemain Kedah pada era 80-an dan awal 90-an iaitu Mohamad Ramlee mendedahkan dia mempunyai impian untuk menyarung jersi kebangsaan namun akui banyak kerja keras perlu dilakukan untuk memenangi kepercayaan Tan Cheng Hoe.

“Siapa tidak mahu bermain dengan pasukan kebangsaan malah impian ini yang menjadikan saya sentiasa bersemangat dalam tiap perlawanan untuk peragakan aksi terbaik.

“Namun, saya tahu perkara ini memakan masa dan apa yang penting, saya kena terus fokus bagi bermain dalam tiap perlawanan dengan Felda United serta cuba meletakkan pasukan ini dalam kalangan empat terbaik pada CIMB Liga Super musim ini, ” katanya.

Update : Muhaimin difahamkan akan menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2021, bekerjasama sekali lagi dengan K.Devan. Selamat berjaya diucapkan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.