Dulu selalu jadi pilihan isi kuota ASEAN, kini Singapura sudah ketandusan kualiti?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sejak import kuota ASEAN diperkenalkan, pemain Singapura boleh dikatakan paling ramai menjadi pilihan jurulatih pasukan-pasukan di Liga Malaysia.

Daripada 12 pasukan di CIMB Liga Super 2020, lima pasukan menggunakan pemain import dari Singapura iaitu Johor Darul Takzim (Hariss Harun); Kedah (Shakir Hamzah); Selangor (Safuwan Baharudin); Terengganu FC (Faris Ramli) dan Felda United (Khairul Amri).

Tetapi bagi musim 2021 yang akan bermula 5 Mac, tinggal empat pemain iaitu Hariss (gambar utama), Shakir, Safuwan serta terbaru Anumanthan Kumar (Kedah) sahaja membawa nama Singapura di kancah Liga Malaysia.

Ianya dipercayai faktor budaya serta bahasa yang hampir sama dengan Malaysia menjadi kelebihan buat pemain dari Singapura mengisi kuota import ASEAN yang diperkenalkan oleh Malaysian Football League(MFL) sejak 2018.

Bagi Khairul Amri yang terpaksa meninggalkan Malaysia berikutan Felda United dibubar, dia berpendapat faktor pengalaman bersama LionsXII selama empat musim lalu (2012-2015) menjadi punca utama mengapa ramai jurulatih di Liga Malaysia berminat mendapatkan pemain import dari Singapura.

Bekas penyerang Singapura berusia 36 tahun itu berkata potensi serta tahap konsistensi dimiliki pemain LionsXII sudah diketahui oleh kebanyakan jurulatih lantas memudahkan buat mana-mana pemain pantas serasi dengan corak pasukan diwakili di Liga Malaysia.

“Pengalaman lima tahun lalu ketika beraksi dengan LionsXII sebenarnya beri kelebihan buat pemain Singapura dalam meraih kepercayaan jurulatih kerana mereka sudah kenal majoriti daripada kami.

“Fizikal kami mungkin tidak sama dengan kebanyakan pemain berdarah campuran tetapi kami bermain atas dasar semangat yang tinggi serta ada keupayaan teknikal tersendiri,” katanya.

Sebagai rekod, kesemua pemain import Singapura yang masih kekal beraksi di Liga Malaysia (kecuali Anumanthan) pernah bermain dengan LionsXII antara musim 2012 hingga 2015.

Antara pemain Singapura lain pernah mewarnai bolasepak di negara kita sejak pengenalan kuota pemain ASEAN adalah Hafiz Abu Sujad, Shahdan Sulaiman, Sahil Suhaimi, Shahril Ishak dan Baihaki Khaizan.

Dalam pada itu, Khairul Amri mengakui dia sebenarnya gusar dominasi pemain dari Singapura terhadap kuota ASEAN di Liga Malaysia akan berakhir dalam masa terdekat.

Asas itu disebabkan kemerosotan kualiti pemain muda dan keputusan kurang baik yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini dalam beberapa kempen pertandingan bawah umur anjuran Konfederasi Bolasepak (AFC) serta di Sukan SEA 2019.

“Bukan sahaja saya, semua pihak bimbang dengan perkembangan bola sepak di Singapura buat masa ini dan mungkin legasi yang kami tinggalkan tidak dapat diteruskan.

“Sebagai contoh di posisi saya iaitu penyerang, hanya Ikhsan Fandi dan adik saya, Khairul Nizam sahaja mampu disandarkan dan selain itu tiada siapa lagi.

“Kami harap perkara ini sementara sahaja dan mungkin ada pemain lain dapat meneruskan rekod baik pemain Singapura untuk bermain di sini,” katanya.

Foto : Goal.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.