“Dulu semua ketawakan saya, sekarang awak tengoklah hasilnya” – TMJ

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Revolusi bolasepak dibawa oleh Johor Darul Takzim (JDT) menerusi visi dan ilham Tunku Ismail Sultan Ibrahim bermula tahun 2013, menyaksikan pasukan itu yang dahulunya sebuah pasukan kerdil, kini menjadi sebuah pasukan dominan dan cukup disegani bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau Asia Tenggara.

17 trofi dalam lapan musim terakhir termasuk tujuh kali berturut-turut menjulang Liga Super, menjadi kelab pertama Malaysia menjulang Piala AFC, kelab pertama Malaysia layak bermain di Liga Juara-Juara Asia, mempunyai pusat latihan dan stadium serba canggih yang tidak dimiliki pasukan lain, malah banyak lagi yang boleh ditulis mengenai revolusi JDT.

Segala apa berkaitan JDT kini menjadi buah mulut orang ramai, malah transformasi skuad harimau selatan perlu diakui telah mengubah landskap bolasepak tanah air secara keseluruhannya. Kini semua menjadikan JDT sebagai penanda aras dan mahu mencontohi mereka.

Bermula dari sebuah impian, Tunku Ismail telah menjadikan JDT sebuah empayar dinamik, namun pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi untuk merealisasikannya.

Tetapi apakah cabaran terbesar di dalam revolusi dilalui JDT, ini jawapan Tunku Ismail.

“Cabaran terbesar bagi saya adalah untuk memberikan pendidikan dan ubah ‘mindset’ pasukan saya sendiri dan orang-orang yang bekerja di dalam kelab JDT. Dan juga untuk memberi pendidikan kepada penyokong-penyokong JDT berkenaan proses pembaharuan.

“Itu adalah cabaran paling besar kerana masa saya mula dahulu, tiada orang yang percaya. Orang di dalam FAM juga tidak percaya, pihak media juga tidak percaya malah pasukan-pasukan lawan juga ketawakan saya dan sekarang awak boleh tengok hasilnya sendiri,” ujar Tunku Ismail dalam temubual di instagram.

Tunku Ismail bagaimanapun menolak tanggapan bahawa JDT berlagak dengan apa yang dikecapi mereka.

“Bagaimana boleh dikatakan JDT berlagak? Jikalau kita menguruskan sebuah kelab bola sepak profesional, sudah tentu kita perlu ada pengangkutan yang terbaik, pakaian yang hebat, kita mahu kelihatan kemas dan profesional. Bagi saya itu bukan berlagak, tetapi itu untuk membawa diri menunjukkan sikap profesional.

“Di dalam pertandingan, ‘there is no humbleness’. Ini bukan tempat untuk kita ada sikap rendah diri, sikap tersebut adalah untuk dunia di luar itu. Tetapi dalam industri pertandingan di mana kita perlu bersaing, sudah tentu ‘ego booster’ (untuk bersaing dengan pihak lawan kita) kita perlu tunjuk yang kita lebih hebat.

“Pasukan lawan pun perlu tunjuk kepada kita yang mereka lebih hebat. Ini adalah industri pertandingan. Buat masa ini kita berada dalam industri ini. Jika kita hendak terus bersikap ‘humble’, itu boleh jikalau kita berada di masjid, warung atau kehidupan biasa,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini fasiliti dan perancangan luar padang JDT, Tunku Ismail berkata proses tolak tanah (pusat latihan baharu) sudahpun bermula dan sekarang sedang membina padang.

“Selepas itu baru saya akan buat bajet untuk pembinaan bangunan-bangunan utama. Untuk stadium, kami bercadang mahu membina ‘lounge & swimming pool’, sesuatu yang unik seperti yang terdapat di stadium LA Galaxy. Dan saya lihat ada stadium baharu di Itali juga mungkin akan buat perkara yang sama untuk menjana lebih ‘income’. Jadi saya pun nak buat perkara yang sama.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.