“Dulu tak ada naturalisasi pun kita layak ke Sukan Olimpik”

Program naturalisasi
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kehadiran pemain-pemain naturalisasi di dalam skuad kebangsaan nampaknya kurang disenangi bekas ‘orang besi’ Harimau Malaya, Datuk Santokh Singh.

Beliau mempersoal keperluan mengambil pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan, yang menurutnya tidak memberikan impak besar kepada prestasi keseluruhan pasukan, terutama ketika tewas 1-4 dan 0-2 masing-masing kepada Kuwait dan Bahrain baru-baru ini.

“Mereka kalah 0-2 (kepada Bahrain), jadi apa perlunya bawa masuk pemain naturalisasi untuk bermain? Dulu tanpa pemain naturalisasi pun Malaysia boleh layak ke Sukan Olimpik. Sekarang bawa mereka (pemain naturalisasi) pun tidak boleh bantu catat kemenangan.

“Saya tidak marah pada mana-mana pihak, tetapi saya marah kenapa mereka (pemain naturalisasi) tidak dapat beraksi seperti di Liga Super yang menyaksikan mereka berjaya memikat hati untuk dinaturalisasikan. Bermainlah demi rasa cinta kepada negara,” kata Datuk Santokh yang merupakan watak penting dalam kejayaan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 kepada Bernama.

Tambahnya lagi, “Apakah yang akan terjadi kepada pemain-pemain tempatan kita yang berlatih bersungguh-sungguh untuk menyarung jersi negara? Untuk siapa mereka nak bermain lagi kalau bukan pasukan negara.”

Untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Tan Cheng Hoe menyenaraikan tiga pemain naturalisasi di dalam skuad iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Tetapi ia sebenarnya kritikan yang tidak adil kepada pemain-pemain naturalisasi ini, kerana skuad Harimau Malaya sendiri baru sahaja kembali beraksi di pentas antarabangsa selepas 19 bulan ‘berehat’ kerana pandemik Covid-19.

Mohamadou Sumareh umpamanya telah menjadi tonggak dalam skuad Piala AFF Suzuki 2018 dan pusingan kelayakan kali ini, tampil dominan di posisi sayap malah salah satu jaringannya membantu membenam Thailand 2-1.

Hanya ketika berdepan Bahrain dia kelihatan off-form.

Liridon Krasniqi pula, perlawanan menentang Bahrain adalah kap sulung buatnya di mana dia beraksi selama 82 minit, dan secara keseluruhan ramai yang memuji peranan pemain kelahiran Kosovo itu yang bertindak sebagai creative-midfielder.

Manakala Guilherme De Paula bermain 55 minit dalam aksi menentang Kuwait (perlawanan persahabatan tidak rasmi) dan menjaringkan satu gol. Dia tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Bahrain.

Jadi, untuk mengatakan bahawa kehadiran pemain naturalisasi tidak membawa impak mungkin satu rumusan yang dibuat terlalu awal.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.