“Dulu TMJ tak fokus skuad kebangsaan, jadi tak boleh kata gagal”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan tidak bersetuju dengan pandangan segelintir penyokong yang mengatakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim gagal membangunkan skuad kebangsaan ketika menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia selama setahun dari 2017 ke 2018.

Sebaik dilantik sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail membawa masuk Nelo Vingada sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan namun malangnya tiada peningkatan ditunjukkan malahan tiada sebarang kemenangan dicatatkan sepanjang 10 bulan di bawah bimbingannya.

Justeru apabila Tunku Ismail menawarkan untuk mengambil alih pengurusan skuad kebangsaan, ramai yang mengungkit semula apa yang berlaku empat tahun lalu.

Menurut Sathianathan, prestasi buruk skuad negara ketika itu tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas Tunku Ismail, kerana ketika itu fokus beliau terarah kepada menyelesaikan banyak perkara lain.

“Orang kutuk TMJ pernah menjadi presiden FAM (tetapi masih gagal meningkatkan prestasi negara).

“Masa baginda jadi presiden, baginda perlu jaga ahli gabungan, FAM dan kekurangan dana MFL (Malaysia Football League) masa itu untuk diberikan kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana. Dia akhirnya berjaya berikan. Itulah tumpuannya ketika itu.

“Kali ini dia minta uruskan pasukan negara. Saya yakin boleh berjaya,” katanya dalam Nadi Arena.

Tambah Sathianathan yang kini Pengarah Teknikal Kuching City lagi, Tunku Ismail perlu diberi masa dan tidak diletakkan sasaran yang tidak realistik.

“Dia (akan bertindak) seperti pengurus, ‘supremo’. dia mampu buat perubahan. Kita tahu kejayaan singkatnya di JDT.

“Dengan tindakan beraninya membuat kenyataan seperti itu (mahu mengambil alih pasukan kebangsaan), saya tahu Tunku tentu dah selidik tapi kita kena paham, pasukan kebangsaan memerlukan masa.

“Tapi mestilah ada perubahan dan peningkatan. Ada program pendek, pertengahan dan panjang. Kita bagi ruang kepada sesiapa sahaja yang nak ambil alih pasukan ini.

“Ia juga terarah kepada supremo tentang arah tuju latihan , kemudahan, kawal pemain. TMJ tidak akan buat pengumuman kalau tidak pasti. Mesti baginda ada ambil pandangan daripada pemain JDT dan yang lain.

“Ini yang saya terkejut, (ini petanda) dia yakin dengan kebolehan pasukan kebangsaan,” katanya lagi.

Mengenai sekiranya ada ‘conflict of interest’ jika Tunku Ismail menguruskan skuad kebangsaan memandangkan beliau juga merupakan pemilik Johor Darul Takzim, ini reaksi Sathianathan.

“Saya pun hairan, sekarang orang pun cakap semua pemain kebangsaan ketika ini ialah daripada JDT, jadi apa salah dia ambil alih.

“Saya pernah cakap jangan sebuah kelab sahaja yang ingin membangunkan kelab. JDT yang memulakan pendekatan semua ini. Kemudahan yang baik, ambil pemain yang baik.

“Ini amat penting, apa kata kita bagi peluang untuk baginda membuktikannya,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.