Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakDwight Yorke, pemain yang menang segalanya dalam karier singkat di Manchester United

Dwight Yorke, pemain yang menang segalanya dalam karier singkat di Manchester United

Dwight Yorke bolehlah dikatakan sebagai salah seorang penyerang terbaik pernah disaksikan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Dia menikmati karier gemilang di EPL dengan menunjukkan sentuhan jaringan berbisa bersama Aston Villa dan membantu mereka memenangi Piala Liga 1996 dengan menewaskan Leeds United dalam aksi final.

Satu daripada highlight penting dalam kariernya adalah ketika dia memenangi kasut emas dalam laluan membantu Manchester United menjulang treble bersejarah pada 1998/1999.

Perpindahan Dwight Yorke ke United pada hakikatnya diselubungi sedikit kontroversi.

Pengurus Aston Villa ketika itu, John Gregory diketahui begitu menyayangi kelibat pemain Trinidad Tobago itu dan enggan melepaskannya kepada Manchester United melainkan pasukan itu bersedia untuk menukarnya dengan Andy Cole.

Dwight Yorke kemudian berjumpa secara peribadi dengan Gregory untuk meminta pelepasan dengan memberitahu dia sudah tiada hati untuk menyarung jersi Aston Villa.

John Gregory tidak berganjak dengan pendirian dan menurunkannya dalam aksi pertama EPL musim 1998/1999 tetapi Dwight Yorke pula sengaja bermain dengan tidak bersemangat dan lembik, sebagai tanda tidak gembira tidak dibenarkan berpindah.

Disebabkan tiada pilihan, Aston Villa terpaksa menjualnya ke United dengan nilai perpindahan £12.6 juta.

“Saat dia datang memberitahu saya sudah tidak berminat bermain dengan Aston Villa dan Manchester United adalah tempat yang sepatutnya dia bermain, ia betul-betul mengecewakan saya.

“Kelab ini telah mengangkat namanya di mana dia telah beraksi hampir 10 musim, tiba-tiba dia datang bagitahu sudah tiada hati dan ini bukan tempat yang betul untuknya.

“Jujur saya kata jika saya ada pistol di tangan, memang saya sudah tembak mati Dwight Yorke, ia mungkin benar-benar terjadi mengambil kira kemarahan dan kekecewaan saya terhadap dia masa itu,” kata Gregory.

Kejayaan mendapatkan Dion Dublin dari Coventry City yang berjaya membentuk gandingan serasi bersama Julian Joachim sedikit meredakan kemarahan Gregory selepas itu.

Yorke pula tidak menunggu lama untuk mencipta impak bersama United walaupun dia sebenarnya didapatkan Alex Ferguson selepas kegagalan memancing Patrick Kluivert dari Barcelona.

Dwight Yorke pada hakikatnya mengharungi karier singkat di Old Trafford, bermain selama empat musim dan hanya cemerlang dalam dua musim pertama, tetapi dalam tempoh itu dia menang segalanya.

Dia bergandingan cemerlang dengan Andy Cole di barisan depan dan menjadi tonggak menghadiahkan kejayaan treble EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah 1998/1999; menjaringkan 18 gol untuk memenangi kasut emas EPL malah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan EPL.

“Walaupun saya mahu sahaja membunuhnya (perasaan ketika itu), saya sangat mengagumi Yorke, menganggap dia adalah penyerang terbaik pernah disaksikan dan dia membuktikan dia membuat keputusan tepat untuk berpindah,” kata Gregory lagi.

Pada musim berikutnya, Dwight Yorke sekali lagi memainkan peranan penting dengan menjaringkan 20 gol untuk membantu United mempertahan kejuaraan EPL.

Pada musim ketiga di United dia sudah menjadi penyerang pilihan kedua di belakang Ruud Van Nistelrooy dan penampilannya agak terhad.

Tetapi hatrik pantas (21 minit) jaringannya dalam kemenangan besar 6-1 ke atas pencabar kejuaraan Arsenal membuka laluan kepada Red Devils muncul juara buat musim ketiga berturut-turut.

Dia keluar daripada United selepas empat musim menabur bakti dan bermain dengan beberapa kelab EPL lain termasuklah Blackburn Rovers (3 musim), Birmingham City (1 musim) dan Sunderland (3 musim).

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.