“Elavarasan Bernasib Baik, Saya Dulu Terus Hilang Kerja”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sarawak United, E.Elavarasan disifatkan sebagai bernasib baik kerana masih dapat meneruskan tugas seperti biasa meskipun dikenakan hukuman penggantungan 12 bulan atas kesalahan membuat kenyataan merosakkan imej Persatuan Bolasepak Malaysia.

Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Sabtu menggantung Elavarasan selama 12 bulan dan turut mengenakan denda RM10,000 ke atasnya susulan kenyataan selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan di mana dia mempertikaikan kualiti pengadil yang ditugaskan pada malam tersebut.

Begitupun hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baiknya selama 12 bulan akan datang.

Justeru Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, B.Sathianathan yang juga Pengarah Teknikal Sarawak United berkata keputusan dibuat FAM itu sebagai adil dan meminta Elavarasan mengambilnya dari sudut positif.

“Saya sudah baca apa yang terkandung dalam keputusan daripada pihak jawatankuasa itu. Betul, Elavarasan digantung 12 bulan, tetapi kalau ikut Artikel 35 tu, dia masih boleh melatih pasukan, boleh duduk di bangku pemain.

“Bagi saya, keputusan FAM itu keputusan yang adil. Selain tidak menjejaskan karier Elavarasan, keputusan itu sebenarnya memberikan amaran yang serius supaya dia tidak mengulangi lagi kesilapan pada masa depan dan dalam 12 bulan, kenalah berkelakuan baik, tak bising buat kenyataan sana sini.

“Ini sesuatu yang bagus. Kalau macam dulu saya kena, sampai hilang kerja. Tapi sekarang, keputusan ini berikan ruang kepada jurulatih. Bagus macam tu kerana tidak berikan kesan kepada kontrak dan sebagainya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, Sathianathan digantung FAM selama enam bulan pada Oktober 2010 kerana kesalahan mengkritik stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis menentang Terengganu tetapi hukuman itu ditangguhkan terlebih dahulu selama tiga bulan sebelum dikuatkuasakan beberapa hari sebelum Liga Super 2011 bermula menyebabkan Kelantan FC terpaksa mencari jurulatih baru.

Dalam pada itu, Sathianathan menyifatkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM berhubung beberapa pemain dan pegawai Sarawak United lain juga tidak wajar dipertikaikan kerana ia memang keputusan yang adil.

“Kalau ada yang pertikaikan hukuman ke atas Elavarasan yang menggunakan Artikel 35 Kod Tatatertib FAM, mereka patut lihat hukuman yang dikenakan kepada pemain dan pegawai lain, macam Sharbinee, teruk juga, kan? Apa pun, secara keseluruhannya, saya tengok, ini adalah keputusan yang baik daripada FAM,” katanya.

Sharbinee Allawee digantung lima perlawanan dan dikenakan denda RM7,000 susulan kelakuan tidak bersemangat sukan, Amer Saidin pula digantung dua perlawanan dan denda RM2,000 manakala Badrul Affendy pula digantung empat perlawanan dan denda RM4,000 kerana menyerang pegawai perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.