Elavarasan Digantung 12 Bulan, 3 Pemain Sarawak United Turut Digantung

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sarawak United, E.Elavarasan menerima natijah akibat kenyataannya mengenai mutu pengadilan selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan, apabila dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Elavarasan selepas perlawanan itu yang mana Sarawak United tewas 0-1 menerusi jaringan minit akhir, mempersoalkan kepincangan pengadilan dan menganggap kekurangan pengalaman pegawai perlawanan menyebabkan pasukannya tewas serta membawa kepada insiden serangan ke atas pengadil.

Elavarasan didakwa membuat kenyataan semasa sidang media berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran di mana kenyataan dibuatnya memberikan impak negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM.

Berita Berkaitan : Inilah Natijah Bila Letak Pengadil Takde Pengalaman – Elavarasan

Begitupun, Elavarasan bernasib baik apabila Jawatankuasa Tatatertib menangguhkan terlebih dulu hukuman tersebut tertakluk kepada kelakuan baiknya selama 12 bulan akan datang.

“Pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 September 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

“Walau bagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan tersebut adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

“Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman penggantungan 12 bulan tersebut akan dikuat kuasakan serta-merta terhadap beliau.

“Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” menurut kenyataan oleh Datuk Baljit Singh, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib.

Selain Elavarasan, Jawatankuasa Tatatertib turut mengenakan hukuman penggantungan perlawanan ke atas tiga pemain Sarawak United iaitu Sharbinee Allawee Ramli, Amer Saidin dan Badrul Affendy Mohd Fadzil serta dua pegawai pasukan iaitu Abang Fomay Abang Sa’adeli dan Rudy Bujang.

Sharbinee Allawee didakwa atas tiga pertuduhan menunjukkan kelakuan tidak bersemangat sukan iaitu sengaja menerjah dada pemain lawan, menolak dengan agresif bahagian dada pengadil perlawanan dan menumbuk papan penggantian pemain yang sedang diangkat pegawai perlawanan semasa dia keluar padang.

“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan denda sebanyak RM3,000 bagi Pertuduhan 1, penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 2 dan penggantungan satu perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 3,” menurut Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Ini bermakna Sharbinee Allawee digantung lima perlawanan, dia akan terlepas aksi terakhir Liga Premier dan empat perlawanan pertama Piala Malaysia.

Amer Saidin pula digantung dua perlawanan dan didenda RM2,000 sementara Badrul Affendy digantung empat perlawanan serta didenda RM4,000 kerana menyerang pegawai perlawanan.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi pegawai pasukan Rudy Bujang yang digantung enam bulan dan turut dikenakan denda RM10,000, manakala Abang Fomay pula digantung dua perlawanan serta didenda RM10,000.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.