Emas ‘Diragut’ Bukan Alasan Untuk Saya Lupa Pengorbanan 11 Tahun Faizul – Ziyad Zolkefli

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tragedi hitam yang berlaku di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di mana pingat emas dimenanginya diragut atas sebab teknikal, bukan alasan buat Ziyad Zolkefli melupakan jasa dan pengorbanan jurulatihnya Faizul Haron.

Malah, Ziyad Zolkefli merakamkan penghargaan kepada Faizul yang disifatkannya individu sangat penting di dalam mengangkatnya ke tahap di mana dia berada sekarang ini.

“Dia adalah orang yang memimpin tangan saya untuk belajar bertatih sehingga saya boleh berlari ke hadapan dan sehingga hari ini masih setia bersama saya.

“Sekiranya orang di luar sana nampak saya berdiri di hadapan sekarang percayalah dia setia di belakang saya. andai orang di luar sana fikir saya berkorban bertahun-tahun untuk capai kejayaan pada kali ini, dia juga berkorban lebih daripada saya.

“Kalau orang di luar tak sanggup melihat kegagalan saya, apatah lagi dia adalah orang yang paling sedih dan kecewa. Dia lakukan apa sahaja untuk saya.

“Dia adalah kawan, abang, dan ayah kepada saya sepanjang karier saya melebihi 11 tahun dalam arena sukan. Dia yang menjadikan saya di mana saya berada sekarang. Tak mungkin saya boleh berdiri dengan sendiri. Terima kasih coach,” ujar Ziyad Zolkefli.

Faizul sebelum ini mengaku dia bertanggungjawab di atas insiden kelewatan tiba di callroom yang sekaligus menjadi punca pembatalan kemenangan Ziyad Zolkefli.

Baca : Jurulatih Ziyad Mengaku Bertanggungjawab Dan Jelaskan Bukan Kerana Ukraine Sabotaj

Namun, di sebalik sikap jujur dan bertanggungjawabnya itu, dia tetap dikecam peminat sukan yang mahu tindakan tegas diambil ke atasnya.

Dalam pada itu, isteri Ziyad, Zafira Nasir turut mempertahankan Faizul yang sudah melatih suaminya lebih 11 tahun hingga mampu meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Di sebalik kejayaan seorang atlet, ada seorang jurulatih di belakangnya yang sentiasa ada dan sanggup berkorban apa sahaja demi meraih kejayaan untuk anak didiknya. Segala perih, segala lelah yang diperah hanya untuk anak didiknya mendapat pulangan selepas berhempas pulas demi sebuah kejayaan.

“Begitu juga dengan kejayaan Ziyad. Di belakangnya ada seorang jurulatih yang sanggup berkorban apa sahaja demi Ziyad mencapai kejayaan. Dengan hasil didikan serta tunjuk ajar jurulatih, Alhamdulillah Ziyad mampu berada di mata dunia. Banyak kejayaan dan kebanggaan sudah dikecapi.

“Hampir 11 tahun mereka bersama, mengharungi perit getir suka duka demi meraih sebuah kejayaan. Pembatalan emas Ziyad di Tokyo tidak akan menjadi sebab untuk kami lupakan jasa dan pengorbanan jurulatih bagi kejayaan sebelum ini. Pengorbanan jurulatih terlalu besar kerana sanggup berkorban masa, keluarga dan segala-galanya untuk Ziyad.

“Terima kasih coach untuk segala-galanya. Terima kasih juga untuk isteri Faizul (Fairuz Hanisah) yang sama-sama berkorban, sentiasa memberi sokongan dan amat memahami semoga kita sama-sama kuat untuk menghadapi situasi yang sukar,” ujar Zafira.



Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.