Euro 2020 : “Eloklah tu kalah, Ronaldo berlagak sangat tunjuk skill”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Eloklah tu kalah, lain kali berlagaklah lagi”, demikian reaksi Dietmar Hamann mengenai kekalahan 2-4 Portugal kepada Jerman dalam aksi Kumpulan F Euro 2020 Ahad lalu.

Menurut Hamann yang juga bekas pemain tengah Jerman, Cristiano Ronaldo seperti kelihatan ‘bodoh’ kerana menunjuk-nunjuk kemahirannya, dan itu yang sebenarnya menjadi pembakar semangat pasukan Jerman untuk bangkit memenangi perlawanan itu.

Cristiano Ronaldo meletakkan Portugal di depan pada minit ke-15, kemudiannya memukau penyokong dengan skill menarik apabila bersahaja menerima bola dan melakukan ‘no look pass’ sekaligus memperdayakan Antonio Rudiger.

Hamann beranggapan helah Ronaldo itu tidaklah hebat sangat dan tidak melihat sebarang magis dalam gerakan itu sebaliknya membidas pemain berusia 36 tahun itu kerana pada akhirnya skill itu tidak membantu Portugal untuk menang.

“Ia mengarut. Dia membalikkan bola itu dengan berpura-pura untuk menyambutnya sebelum menolaknya dengan tumit sambil berpaling ke arah lain.

“Memang mengagumkan dapat menyaksikan kemampuannya. Saya rasa, ia menjurus keinginannya untuk merendah-rendahkan pihak lawan.

“Kedudukan baru 1-0 dan saya hanya duduk memerhatikannya tatkala semua orang berasa teruja. Ya, dia adalah yang terbaik termasuk Messi. Kini dia nampak bodoh. Perlawanan baru 1-0. Dia nampak bodoh.

“Kalau ditanya pemain Jerman sekarang, mereka akan memberitahu apa yang difikirkan. Mereka pasti akan terperasan tindakan itu.

“Kesemua mereka pasti mengatakan ia hanya membuatkan semangat mereka lebih membara untuk mengubah kedudukan,” katanya seperti dipetik daripada MailOnline.com.

Di sebalik kata-kata kurang sedap dari Hamann, Cristiano Ronaldo bagaimanapun punyai sebab untuk tetap berbangga apabila analisis dari BeinSport mendedahkan dia berlari sejauh 97 meter dengan kelajuan 32km/j setelah mengeluarkan bola dari kotak penalti sendiri ke kotak penalti Jerman untuk menjaringkan gol pendahuluan Portugal.

Sayangnya Jerman bangkit dengan dua gol sendiri di separuh masa pertama dan menambah dua jaringan di separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan.

Setakat ini dia telah mengumpul tiga gol dalam Euro 2020 malah ketika menjaringkan dua gol menentang Hungary dalam aksi sulung, Ronaldo berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan Euro dipegang oleh Michel Platini.

Kekalahan kepada Jerman bagaimanapun menyaksikan Portugal yang merupakan juara bertahan kini perlu menang aksi terakhir menentang Perancis untuk meneruskan kemaraan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.