Eyka Farhana : ‘Saya ambil video dari ahli keluarga, jangan salah faham’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengguna instagram dengan nama eykafarhana telah memuatnaik sebuah video suasana di dalam Stadium Sultan Ibrahim Larkin ketika berlangsung perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah pada Sabtu.

Di dalam video tersebut jelas menunjukkan kehadiran penyokong yang ramai, di mana kehadiran mereka bagi memberi sokongan dan menanti detik meraikan kejayaan pasukan Harimau Selatan itu muncul juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.

Tapi tunggu! Bukankah peraturan sudah ditetapkan bahawa tiada kehadiran penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia, malah diperkenalkan pelbagai garis panduan dan SOP untuk dipatuhi?

Garis panduan MFL Eyka Farhana : 'Saya ambil video dari ahli keluarga, jangan salah faham'

Malah Malaysian Football League (MFL) sendiri banyak kali telah mengeluarkan peringatan, termasuk menyatakan rasa kecewa kerana ada pasukan tidak mengambil serius pematuhan SOP dan bersikap sambil lewa.

Jadi atas dasar apa begitu ramai penyokong boleh dibenarkan berada di dalam Stadium Sultan Ibrahim, adakah mereka mendapat pengecualian atau kebenaran khas?

Itulah yang menjadi persoalan penyokong-penyokong bolasepak tempatan selepas tularnya video dari eykafarhana itu.

Enggan terjebak ke dalam kontroversi, pengguna instagram itu yang dipercayai teman wanita kepada salah seorang pemain JDT pantas memadam video itu dan kemudiannya menjelaskan bahawa video itu bukan miliknya, tetapi diambilnya daripada ahli keluarga dan meminta penyokong supaya tidak salah faham. 

Ini bermaksud penyokong yang ramai itu mungkin dari kalangan ahli keluarga terdekat pemain.

Sama ada eykafarhana sekadar memberi alasan untuk tidak mengeruhkan keadaan, itu bukan persoalannya.

Persoalan lebih besar adalah bagaimana MFL yang memperkenalkan peraturan itu sendiri boleh pejam mata dengan pelanggaran peraturan yang mereka tetapkan, lebih-lebih lagi perlawanan itu turut dihadiri oleh Presiden MFL Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

Sehingga saat artikel ini ditulis, tidak ada pemakluman daripada Majlis Keselamatan Negara bahawa perlawanan bolasepak telah mendapat lampu hijau untuk kemasukan penyokong ke stadium, dan tiada juga pemakluman daripada MFL jika mereka ada memberikan sebarang kebenaran.

Adakah peraturan boleh diubah mengikut permintaan (sekiranya ada) atau diubah mengikut keistimewaan sesuatu perlawanan tersebut?

Pastinya MFL perlu tampil memberi penjelasan yang bijak.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.