Jika Bukan Kerana Wenger dan Arsenal, Saya Bukan Sesiapa – Penyesalan Fabregas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kesayangan Arsenal, Cesc Fabregas mengakui betapa dia menyesal dengan cara dia menekan Arsene Wenger dalam usaha untuk keluar daripada pasukan itu dan menyertai Barcelona pada 2011.

Fabregas yang turut pernah menyarung jersi kelab seteru London, Chelsea, selama lima musim berkata budi dan jasa Arsene Wenger terlalu besar di dalam membentuk perjalanan kariernya dan dia ‘terhutang segalanya’ kepada bekas boss the gunners itu tetapi dia sendiri tidak percaya telah membuat sesuatu yang melukainya.

“Seperkara yang cukup saya sesali dan masih membunuh saya adalah sikap saya terhadap Arsene dan cara saya memberi tekanan kepadanya untuk melepaskan saya.

“Dia memberikan segalanya kepada saya, seorang pengurus yang mempunyai keyakinan untuk menurunkan saya pada usia 16 tahun, pengurus yang menghadiahkan saya penampilan dalam skuad senior ketika saya baru 17 tahun, pengurus yang membuka laluan untuk saya masuk ke dalam skuad Sepanyol.

“Kalau bukan kerananya (Arsene), takkan mungkin Louis Aragones membawa saya ke Piala Dunia (2010) ketika saya baru sahaja berusia 19 tahun. Saya terhutang segalanya kepada Arsene, keseluruhan karier saya, saya sedar perkara itu.

“Setelah saya berusaha, bekerja keras memenangi kepercayaannya, membuatkan dia berbangga setiap kali melihat saya dan merasakan telah membuat perkara betul untuk pembangunan karier saya, satu perkara yang saya masih ralat dan kurang senang adalah memikirkan bagaimana saya mendesak dia agar perpindahan ke Barcelona itu berlaku. Saya buat sesuatu yang saya sendiri rasa malu.

Sumber artikel : Metro.co.uk

“Tetapi jika saya tidak berbuat begitu, ia (perpindahan) tidak akan berlaku. Lagipun, saya mahu perpindahan itu berlaku segera, pada waktu itu, bukan terus bersabar dengan mengatakan buat yang terbaik dulu bersama Arsenal dan menunggu perpindahan berlaku pada musim seterusnya,” ujar Fabregas.

Fabregas yang kini bermain dengan Monaco turut mengakui betapa dia bertuah untuk mendapat sentuhan Arsene Wenger dan mendedahkan bagaimana pengurus berbangsa Perancis itu mengambil langkah-langkah wajar untuk menjadikannya sebagai pemain berkelas dunia.

“Arsene seorang yang sangat jujur, dia seorang yang cukup hebat, kepercayaan dia ke atas saya adalah cukup mengejutkan. Saya cukup bertuah kerana setiap jurulatih adalah berbeza, kesemua mereka menunjukkan tingkah yang berbeza.

“Arsene memberikan saya kebebasan penuh, kebebasan penuh untuk menyerlahkan bakat saya, semua apa yang ada dalam diri saya, dan dia tidak sesekali meletakkan tekanan ke atas seorang pemain muda. Dia sentiasa positif dan menanam hanya elemen positif dalam pemikiran saya, supaya hanya perlu lakukan apa yang saya tahu saya boleh lakukan.

“Dia tidak akan meminta sesuatu yang istimewa, atau sesuatu yang dia tahu kita tidak boleh buat, dia meminta saya menjadi diri sendiri. Semua pemain yang Arsene tandatangani adalah pemain yang bijak yang memahami permainan dalam cara sama.

“Bayangkan saya buat terlalu banyak kesilapan, tetapi mungkin kerana saya membangun di dalam sebuah pasukan yang hebat maka kesilapan itu nampak tidak begitu ketara berbanding sekiranya saya di dalam sebuah pasukan kecil, namun Arsene tidak akan cakap apa-apa, dia hanya akan terus membimbing saya.

“Kadang-kadang selepas habis latihan dan semua pulang, dia akan minta saya tunggu dan adakan sesi individu, melatih dan cuba membantu saya untuk mempertingkatkan apa sahaja aspek yang dia rasa boleh ditingkatkan.

“Contohnya seperti final pass, kaki kiri, memperkemaskan visi (pandangan) dari sisi belakang, bagaimana untuk meletakkan badan di tempat yang betul pada waktu yang betul. Benda-benda kecil yang mungkin kita rasa tidak penting tetapi apabila mendapat tunjuk ajar yang betul dan kita dapat praktikannya di atas padang dengan begitu baik, ia menjadikan kita seorang pemain yang jauh lebih baik.

“Apabila dia merasakan ia waktu yang tepat, dia akan panggil kamu ke pejabatnya dan memberitahu tentang pandangannya, apa yang dia rasa, bagaimana dia melihat permainan kita, apa yang boleh ditingkatkan lagi, secara dasarnya dia seorang yang sangatlah penyabar.

“Hari ini saya faham bahawa ia sangat sukar untuk menjadi begitu penyabar dengan pemain muda tetapi dia menunjukkan kesabaran itu kepada saya dan ramai pemain lain. Dalam dunia bolasepak ianya sukar untuk ada kesabaran kerana semua mahu menang, semua mahu letak tekanan ke atas anda. Arsene pula berikan saya dorongan dan selamanya saya akan mengingatinya.”

Foto ehsan : GettyImages

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.