Fadzrul Danel kena gantung tambahan tiga perlawanan, denda RM10,000

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain muda Kedah Darul Aman (KDA), Fadzrul Danel Mohd Nizam dikenakan penggantungan tambahan tiga perlawanan dan juga denda RM10,000 gara-gara kad merah yang diterimanya pada perlawanan menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman pada 9 April lalu.

Pada perlawanan itu yang mana KDA tewas 1-2, Fadzrul Danel dilayangkan kad merah kerana menolak pengadil Azriel Baharuddin pada masa kecederaan gara-gara tidak berpuas hati tidak diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Terengganu FC.

Dia telah menjalani penggantungan automatik satu perlawanan ketika KDA menentang Perak FC pada 17 April, dan tiga perlawanan seterusnya yang dia tidak boleh diturunkan adalah menentang Melaka United (30 April); JDT (4 Mei) dan Sabah (8 Mei).

Fadzrul Danel merupakan pemain ketiga dalam kempen Liga Malaysia 2021 untuk menerima hukuman akibat daripada kesalahan menolak pengadil, dalam masa sama dia menjadi pemain yang ‘paling teruk’ dihukum.

Ini kerana sebelum ini Jack Hindle (pemain Kelantan FC) hanya diberi amaran keras oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia, manakala Natxo Insa (pemain tengah JDT) pula digantung satu + satu perlawanan dan didenda RM10,000.

Kedua-dua juga mereka tidak menerima sebarang layangan kad daripada pengadil ketika perlawanan.

Fadzrul Danel pula dihukum atas dua kesalahan, pertama layangan kad merah (gantung tiga perlawanan tambahan) serta kesalahan tingkah laku ke atas pegawai perlawanan (denda RM10,000).

Sementara itu, seorang lagi pemain KDA, Rodney Akwensivie pula akan menjalani tambahan penggantungan satu perlawanan kerana kad merah diterima pada perlawanan yang sama.

Rodney diperintah keluar padang selepas mengasari pemain Terengganu FC beberapa minit selepas Fadzrul Danel dilayangkan kad merah, menyaksikan KDA menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Pengendali KDA, Aidil Shahrin Sahak memberitahu selepas perlawanan tersebut pemain-pemain akan hilang sabar jika pengadil berlaku tidak adil, sebagai merujuk kepada insiden membabitkan dua pemainnya itu.

Rodney telah menjalani penggantungan automatik ketika KDA menentang Perak, dan dia akan terlepas aksi terakhir pusingan pertama Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.