Faisal Halim : “Apa Guna Awal Musim Power, Hujung Musim Duk No.4”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Faisal Halim mengakui Terengganu FC berdepan cabaran sukar untuk mengakhiri saingan Liga Super 2021 di kedudukan kedua seterusnya menyambar slot bermain di Piala AFC selepas mereka tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Rentetan keputusan buruk itu menyaksikan Terengganu FC tergelincir ke tangga keempat dengan 37 mata, tatkala kelebihan kini berada di tangan Kedah Darul Aman dan Penang FC yang menduduki tangga kedua dan ketiga setelah masing-masing mengumpul 40 mata.

Aksi terakhir pada Ahad nanti, Terengganu akan menentang Penang FC manakala Kedah pula berdepan Melaka United.

Jika Kedah tewas manakala Terengganu menang walaupun dengan jaringan tipis, mereka akan merampas semula kedudukan kedua justeru Faisal Halim berharap rakan sepasukan tidak luntur semangat di dalam memberikan persembahan terbaik.

“Ini memang satu cabaran yang sukar untuk kita kerana pada awal musim, kita dah selalu di tangga kedua atau ketiga, tetapi tiba-tiba pada aksi-aksi terakhir ini, kita di nombor empat, pastinya bukan senang untuk kita.

“Tidak guna kalau awal musim kita selalu di atas, tetapi bila dah nak tamat liga, kita di tempat keempat atau kelima, jadi memang kita kena menang juga dalam perlawanan akhir ini.

“Saya percaya dengan rakan sepasukan lain untuk kita semua beri sepenuh hati dan tetap bersemangat dalam misi wajib menang Ahad ini”, katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil menyifatkan aksi terakhir Liga Super menentang Sabah FC cukup penting bagi meraih slot ke TM Piala Malaysia untuk sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan selepas tersingkir ke Liga Premier 2022.

Piala Malaysia dianggap sebagai peluang terakhir untuk Perak cuba menghadiahkan sesuatu kepada penyokong selepas bergelut dengan prestasi dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Justeru, Shahril mahu barisan pemain tetap fokus untuk memastikan kemenangan berharga dapat diraih pada Ahad ini memandangkan UiTM FC juga masih berpeluang untuk layak sekiranya mereka menang ke atas Sri Pahang FC.

Apa yang pasti, beliau enggan anak buah memandang rendah terhadap kemampuan Sabah meskipun mereka tewas besar 6-0 kepada Selangor pada minggu lalu selain berharap pasukan mampu merasai kemenangan sebagai penutup Liga Super selepas tewas dalam enam perlawanan terakhir sebelum ini.

“Secara keseluruhannya, pemain-pemain saya masih menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan cukup positif kerana kita dah tahu kedudukan pasukan macam mana, jadi sekurang-kurangnya satu mata sudah cukup untuk layak ke Piala Malaysia.

“Walaupun kita dah jatuh ke Liga Premier, tetapi perlawanan terakhir ini memang penting dan kita pun dah lama tak rasa kemenangan, jadi harapnya kita dapat raih tiga mata sebagai penutup liga musim ini.

“Saya ada melakukan sedikit rombakan di mana Nazmi Ahmad digantung sebab tiga kad kuning, Rafiuddin Rodin pula ada sedikit kecederaan, kena tengok macam mana keadaan dia selepas ini, dan Azri Ghani pula sudah kembali daripada kem latihan Bawah 20 tahun, jadi kami akan pantau dia juga untuk aksi Ahad ini”, jelasnya.

Enam perlawanan terakhir Liga Super 2021 akan berlangsung serentak pada Ahad ini yang juga menjadi penentuan slot secara rasmi ke TM Piala Malaysia.

Johor Darul Ta’zim (JDT) pula sudah sah bergelar juara Liga Super dan meraih slot ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas pasukan lain gagal mengejar kedudukannya di puncak liga.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.