Pemain sayap lincah, Faisal Halim tampil dengan aksi memukau ketika membantu skuad negara membenam Turkmenistan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil lantas menyaksikannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Bintang Terengganu itu menjadi duri dalam daging buat pertahanan Turkmenistan terutamanya di separuh masa pertama, seringkali membuat larian dan gerakan serangan berbahaya dan turut menyumbang satu jaringan pada minit ke-16.
Lebih menarik ia adalah jaringan pertamanya dalam aksi kompetitif bersama Harimau Malaya setelah sebelum ini membuka akaun jaringannya ketika menentang Brunei dalam aksi persahabatan.
Dia meraikan momen yang cukup bermakna itu dengan gaya sama seperti bintang bolasepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo.
“Saya sebak kerana ini adalah jaringan pertama saya dalam aksi tertinggi bersama Malaysia. Saya hendak ucap terima kasih kepada rakan, keluarga dan penyokong yang memberi sokongan kepada saya dan juga keseluruhan skuad Harimau Malaya,” ujarnya sambil menitiskan airmata selepas perlawanan.
Dalam aksi di hadapan lebih 50,000 penyokong itu, Malaysia tampil cukup dominan terutamanya pada 30 minit pertama dengan permainan menyerang bertenaga menerusi kelibat Faisal Halim dan Arif Aiman di sayap kiri dan kanan.
Safawi Rasid membuka tirai jaringan pada minit ke-11 setelah dia merembat masuk bola percubaan Arif Aiman yang diselamatkan penjaga gol Turkmenistan, Oraz Muhammedov Mamet.
Faisal Halim menggandakan kelebihan buat Harimau Malaya setelah menyudahkan peluang satu lawan satu namun selepas itu Turkmenistan mula bangkit mengimbangi permainan dan berjaya merapatkan defisit menerusi Annadurdyyev Altymyrat yang memanfaatkan kesilapan Shahrul Saad.
Ketika masa kecederaan separuh masa pertama, pemain pertahanan, Corbin Ong membuat larian solo dari kawasan sendiri dan melakukan percubaan yang gagal diselamatkan Oraz, sekaligus mengembalikan kelebihan dua gol buat skuad negara.
Turkmenistan cuba untuk tampil lebih garang di separuh masa kedua, namun skuad kendalian Kim Pan-gon ampuh bertahan untuk memastikan tiga mata daripada aksi sulung ini, sekaligus memimpin carta Kumpulan E dengan perbezaan jaringan ke atas Bahrain yang menewaskan Bangladesh 2-0.