Penyerang Pahang Faisal Halim tekad mahu membantu pasukan itu memenangi setidak-tidaknya satu trofi sebagai hadiah kepada penyokong sebelum dia meninggalkan pasukan itu.
Dengan saingan Liga Super dirancang untuk diteruskan secara separuh musim sahaja oleh Malaysian Football League (MFL), Faisal sedar peluang memburu kejuaraan adalah terbuka dengan syarat mereka menterjemahkan aksi terbaik dalam baki perlawanan yang tinggal.
“Mungkin kita mulakan musim bukan sebagai pilihan, tetapi dengan hanya tujuh perlawanan sahaja tinggal (jika liga diteruskan) maka apa sahaja boleh berlaku.
“Sebelum liga ditangguhkan Pahang telah berjaya mendapatkan momentum jadi peluang memenangi Liga Super masih terbuka, yang penting kita beri aksi bertenaga dan mengerah kudrat sebaik mungkin untuk cuba menang setiap perlawanan.
“Lagipun ini mungkin menjadi musim terakhir saya bersama Pahang, kerana kontrak saya berakhir hujung tahun ini. Saya tidak tahu saya akan kekal di Kuantan atau tidak pada musim depan jadi ia membakar lagi keinginan saya untuk cuba menangi salah satu daripada kejuaraan sebagai hadiah kepada penyokong yang sentiasa menyokong karier saya,” ujar pemain bertubuh kecil itu.
Faisal telah bermain kesebelasan utama dalam semua empat perlawanan pertama Liga Super 2020 – dua daripadanya bermain penuh 90 minit dan dia berterima kasih kepada Dollah Salleh yang meletakkan kepercayaan ke atas kudratnya.
Meskipun belum dapat mencetak nama sebagai penjaring, Faisal berjaya memenangi hati penyokong tok gajah menerusi gelecekkan dan larian-larian lincah di sayap, dan dia juga ada mencipta satu assist setakat ini.
“Ianya bagus bermain dalam kesebelasan utama dalam semua empat perlawanan memandangkan musim lalu saya lebih bertindak sebagai pemain gantian. Coach Dollah percaya kepada kebolehan saya dan saya mahu membalas kepercayaan itu.
“Apapun saya tahu itu bukan tiket untuk saya berasa selesa dan perlu terus belajar. Ada kelemahan yang telah saya kenalpasti dan saya perlu perbaikinya terutama di dalam membuat keputusan dan sentuhan penyudah. Saya harap dapat kembali ke padang sebagai pemain lebih baik,” katanya yang baru bergelar ayah beberapa hari lalu.
#LabolaMalaya
Foto : thestar.com.my