Faiz Subri buat ‘comeback’, tidak pasti tentang tawaran kejurulatihan di Hungary

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Faiz Subri belum mahu menggantung but, sebaliknya akan membuat ‘comeback’ bersama Northern Lions FC apabila dia menandatangani Memorandum Persefahaman untuk beraksi dengan pasukan itu dalam saingan Liga M3 musim 2021.

Jadi bagaimana pula dengan tawaran menjadi jurulatih teknikal sukan Teqball di Hungary, sepertimana dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini?

Laporan tersebut memetik kenyataan Presiden Persatuan Teqball Malaysia (MTA) KJ Siva bahawa Persatuan Teqball Hungary menunjukkan minat yang cukup tinggi untuk mendapatkan khidmat Faiz Subri berdasarkan kemahiran dan pengalamannya hingga berjaya memenangi Anugerah Puskas 2016.

Begitupun Faiz Subri berkata, dia tahu mengenai tawaran itu hanya melalui media, tetapi bersedia mempertimbangkan jika tawaran itu betul.

“Saya tidak pasti (tentang tawaran kejurulatihan di Hungary), kerana saya pun dapat tahu melalui media mengenainya. Mungkin ia masih dalam perancangan dan perbincangan.

“Kalau betul, dan kalau ada rezeki tengoklah mungkin saya akan pergi, mungkin juga tidak, saya tidak pasti mengenainya kerana buat masa ini, saya belum terfikir nak bersara dan fokus saya adalah terus bermain bola, terus menyumbang khidmat dengan Northern Lions FC.

“Saya telah tandatangan MOU belum sign kontrak, apabila telah ada perkembangan terkini mengenai kalendar M3, baru akan tandatangan kontrak,” kata Faiz Subri yang ditemui Labola Malaya selepas Majlis Pelancaran Logo Baru Northern Lions FC di Kangar.

Northern Lions FC Faiz Subri buat 'comeback', tidak pasti tentang tawaran kejurulatihan di Hungary

Sebagai rekod, Faiz Subri yang akan berusia 34 tahun pada tahun depan memulakan karier professional bersama Tambun Tulang FC, sebelum menyarung jersi Perlis pada 2010 seterusnya berkelana mewakili beberapa pasukan seperti T-Team, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang, sebelum dipancing Northern Lions FC pada 2020.

Tetapi disebabkan saingan Liga M3 telah dibatalkan, karier pemain yang mencuri tumpuan dunia menerusi ‘gol melawan hukum fizik’ ketika menentang Pahang dalam aksi Liga Super 2016 yang membolehkannya memenangi Anugerah Puskas FIFA, turut terkena tempias.

Sepanjang tidak bermain bola, Faiz Subri yang memenangi Piala FA 2013 bersama Kelantan berkata dia meneruskan kehidupan dengan berniaga.

Sementara itu, Presiden Northern Lions FC, Amran Hamid berkata pasukan itu yang merupakan Naib Juara Liga M4 2019 mensasarkan untuk mengembalikan semula imej bolasepak negeri Perlis yang tercemar dek tragedi hitam menimpa pasukan Perlis FA pada tahun lalu.

Menurutnya pasukan itu yang ditunjangi tenaga muda, akan mengekalkan lebih 70 peratus pemain musim ini dan berazam menjadi antara pencabar kuat M3 2021.

Dalam majlis yang sama itu, Northern Lions FC mengumumkan Line7 sebagai penaja utama kit mereka manakala E’Dah Ikan Bakar pula menandatangani MOU sebagai Rakan Strategik.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.