Faiz Subri Dijangka Kembali Perkuat Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan FC berhasrat mahu membawa semula bekas pemain tengahnya Faiz Subri untuk memperkuatkan pasukan bagi mengharungi musim 2022.

Perkara itu disahkan pemilik pasukan Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Menurut Zamsaham, beliau telah berhubung sendiri dengan Faiz Subri yang pernah menyarung jersi pasukan the red warriors pada musim 2013.

“Pemain yang pernah menang anugerah Puskas, skill dan bakatnya diperlukan di TRW. Sudah berbincang dengannya tapi belum ada kata muktamad, jika ada jodoh, dia akan ke TRW,” ujar Zamsaham.

Bersama Kelantan FC pada 2013, Faiz Subri membantu skuad yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak memenangi Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia.

Faiz Subri yang akan berusia 35 tahun pada tahun depan turut pernah bermain untuk Perlis, T-Team serta Terengganu dan kali terakhir beraksi dalam Liga Malaysia adalah pada 2019 bersama Penang FC.

Pada 2016 dia mencipta sejarah apabila gol melawan hukum fiziknya ketika Penang bertemu Pahang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas dan menjadikannya pemain Asia pertama untuk memenangi anugerah itu.

Pada 2020 dia menyertai kelab Liga M3 Northern Lions FC namun tidak membuat sebarang penampilan berikutan liga dibatalkan.

Manakala pada tahun ini dia menyertai Kuala Kangsar FC namun cerita sama berulang apabila Liga M3 dibatalkan dan baru-baru ini menyatakan sedang mencari pasukan baru kerana yakin kudratnya boleh bertahan kira-kira dua atau tiga tahun lagi.

Zamsaham yang menyasarkan Kelantan FC mara ke Liga Super 2023 dijangka akan membawa masuk beberapa pemain yang ada nama untuk memperkuatkan pasukan itu yang dibelinya pada September 2020.

Tahun ini Kelantan diperkuatkan sebahagian besarnya pemain muda yang mentah pengalaman namun berjaya menduduki tangga keenam Liga Premier dan layak ke Piala Malaysia.

Baru-baru ini Zamsaham mengumumkan kontrak pemain berasal dari Indonesia Nataneal Siringo Ringo dilanjutkan setelah berpuas hati dengan sumbangannya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.