Faizal Akan Bincang Dengan MFL Potensi Perak Kekal Di Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mungkinkah Perak FC akan terselamat dari tersingkir ke Liga Premier dan kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan?

Tanggapan itu timbul setelah tularnya sebuah video pendek mengenai kata-kata Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Seri Faizal Azumu bahawa beliau akan berjumpa dengan Malaysian Football League (MFL) bagi membincangkan mengenai pertambahan jumlah pasukan untuk beraksi di Liga Super.

Adalah diketahui, Faizal Azumu berasal dari Perak dan merupakan bekas Menteri Besar Perak, selain pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Perak FC ketika ini menduduki tangga kedua tercorot Liga Super dengan 13 mata, empat mata di belakang Sri Pahang FC. Mereka hanya mencatat tiga kemenangan dan telah tewas sebanyak 13 kali dalam 20 perlawanan.

Dengan tinggal hanya dua perlawanan sahaja untuk diharungi, pasukan kendalian Shahril Nizam Khalil itu dilihat mustahil dapat mengelak daripada tersingkir bersama-sama Uitm FC.

Ketika ditanya tentang adakah Perak FC akan terselamat dari terhumban ke Liga Premier jika Liga Super 2022 dinaikkan kepada 16 pasukan, ini jawapan Faizal Azumu.

“Pertamanya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) takde kuasa, terpulang kepada MFL. Tapi kita kawan baik dengan MFL, syaa dengan CEO baru Stuart (Ramalingam) kawan baik, dengan Datuk Hamidin pun saya boleh cakap.

“Baru-baru ini pun kita ada bincang, Datuk Hamidin dengan Stuart memang ada pandangan nak naikkan (pasukan Liga Super) kepada 16 pasukan. Ini selari dengan apa yang FIFA tetapkan, selama ini kita tak ikut FIFA tapi sekarang mungkin terpaksa buat macam tu.

“Kalau itu berlaku selamatlah Perak, kalau tak, sakit kepala sikit sebab benda tak pernah berlaku (jatuh liga). Masalahnya jika Perak turun liga, PFC II pun akan turun liga, tak boleh berada dalam satu liga, jadi ia juga satu masalah. Jadi kita doakan inshaAllah saya akan cakap dengan Hamidin dan Stuart,” kata Faizal Azumu.

Sebagai rekod, sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004, Perak adalah satu-satunya pasukan yang tidak pernah turun divisyen, sekaligus mencatat rekod beraksi di liga divisyen utama tanah air selama 18 tahun.

Begitupun dalam tempoh 18 tahun itu, Perak FC tidak pernah merasai nikmat bergelar juara sebaliknya pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara Liga Super sebanyak dua kali pada 2007 dan 2018.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.