Fakri Saarani ada kelebihan yang ramai tak nampak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Walaupun seringkali dikritik malah adakalanya menjadi bahan ‘troll’ dalam kalangan penyokong, bekas penyerang kebangsaan Ahmad Fakri Saarani mempunyai kelebihan tersendiri yang ramai tidak tahu.

Demikian pandangan pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon mengenai pemain versatile yang boleh beraksi di pelbagai posisi itu sambil mengakui Ahmad Fakri Saarani adalah salah seorang pemain yang sangat dikaguminya dalam Liga Malaysia.

“Ramai tidak nampak apa yang ada pada Fakri, sebenarnya jika ikuti perjalanan kariernya, dia lebih cepat naik daripada saya walaupun kami bersekolah sama di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Ketika di puncak prestasi, saya kagum melihat kesungguhannya dalam latihan serta permainan sebenar malah gayanya cukup keras malah sentiasa membantu rakan-rakan yang lain sehingga beri kesukaran kepada pemain lawan.

“Walaupun sentiasa mendapat kritikan pedas daripada peminat jika dia ada buat kesilapan, Fakri tidak pernah berdendam atau marah kepada peminat dan sikap ini juga sesuatu yang positif yang pada dirinya.

“Biarpun dia kini tidak lagi aktif bermain, saya memilih Fakri atas kecemerlangannya semasa di puncak prestasi malah jangan lupa dia dulu sentiasa mendapat panggilan skuad kebangsaan serta skuad bawah umur,” kata Syazwan yang menyenaraikan Ahmad Fakri Saarani dalam Best XI Liga Malaysia pilihannya.

Sebagai rekod, Ahmad Fakri Saarani memulakan karier professional bersama Perak sebelum menyertai Harimau Muda pada 2007 dan selepas itu mewakili banyak pasukan lain termasuk Perlis, Negeri Sembilan, Felda United, Kelantan, Kedah dan Melaka United.

Ahmad Fakri juga pernah membantu pasukan negara menoktahkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan Sea pada 2009, selain pernah berkelana seketika di bumi Eropah dengan menyertai kelab Portugal, Athletico.

Sementara itu, pemain lain yang berada dalam senarai Best XI pilihan Syazwan Zainon adalah Farizal Marlias (penjaga gol) manakala Fitri Omar, Fauzi Nan, Khairunnisam Sahabudin dan Rizal Ghazali mengisi benteng pertahanan.

KARAKTER DAN KARISMA BADDROL TIADA TANDINGAN

Di tengah, selain Ahmad Fakri Saarani, dia menyenaraikan Fauzi Shaari, Sandro Da Silva, Amri Yahyah dan Baddrol Bakhtiar manakala Khyril Muhymeen Zambri selaku penyerang tunggal.

Bercakap mengenai Baddrol Bakhtiar, Syazwan berkata walaupun berperwatakan sederhana dan tidak banyak bercakap namun tiap kali memegang lilitan kapten, pemain itu akan bertukar menjadi karakter menjadi seorang berkarisma di atas padang.

Tambahnya, bukan sahaja punyai kualiti semulajadi sebagai ketua pasukan malah Baddrol ada banyak ciri teknikal yang tidak banyak ada kepada pemain lain terutama pada teknik rembatan serta hantaran kepada rakan sepasukan.

Baddrol Bakhtiar Fakri Saarani ada kelebihan yang ramai tak nampak

“Baddrol sentiasa menjadi tulang belakang pasukan dengan sentiasa meniupkan kata-kata yang luar biasa tiap kali beraksi dan sekiranya jika kami ketinggalan, dia tahu cara membakar semangat pemain untuk bangkit.

“Dia juga tidak kedekut ilmu kepada pemain-pemain muda dan tiap kali kami bermain, saya tertarik melihat kualiti yang ada pada Baddrol kerana dia boleh memberikan kejutan kepada pihak lawan dalam situasi yang tidak diduga.

“Pertahanan lawan selalu keliru dengan cara Baddrol kerana ada kalanya dia seperti melakukan hantaran tetapi sebaliknya terus melakukan rembatan yang mampu memberikan jaringan dan dia sentiasa menghadirkan kejutan di atas padang dengan hantaran-hantaran yang tidak diduga.

“Bagi saya Baddrol ada karakter berbeza ketika di luar dan dalam padang yang menjadikan saya mahu meletakkan dia antara salah satu dalam pilihan Best XI sepanjang saya bermain di Liga Malaysia,” katanya.

Foto : Shazli Shamsuddin, NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.