Faktor Nasib, Penyudah Tumpul dan 8 Pemain Tak Sihat Punca Kedah Tumbang – Aidil Sharin

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hajat besar Kedah Darul Aman membalas dendam kekalahan kepada Terengganu tidak kesampaian setelah tewas sekali lagi kepada lawan mereka itu dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Jaringan Kpah Sherman dan Manny Ott menghadiahkan kekalahan 1-2 kepada Kedah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga kekalahan keempat mereka musim ini.

Ia jelas mengecewakan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang memberitahu bahawa kekalahan pasukannya itu terjadi kerana beberapa faktor walaupun berjaya untuk memberi tentangan sengit kepada pasukan tuan rumah selain mencipta banyak peluang jaringan.

“Pemain mula mempamerkan corak permainan tersusun selepas bermulanya separuh masa kedua dengan kerap mengasak kubu tuan rumah selepas tidak beraksi dengan baik pada awal permainan dengan melepaskan gol mudah sama seperti minggu lalu berdepan TFC dalam aksi Piala FA.

“Pemain juga dilihat gagal mengawal ketat pergerakan Kpah Sherman terutama dalam kotak penalti, namun segalanya berubah selepas tiga pertukaran dibuat. Corak permainan mereka lebih bagus berbanding tuan rumah dengan penguasaan bola dan peluang terhidang dimiliki.

“Jika mereka berjaya melaksanakan peluang itu dengan sebaik mungkin, keputusan mungkin memihak kepada kami, namun dalam bola sepak, jika kita gagal memanfaatkan peluang itu, pasukan akan tewas.

“Tapi saya tidak meletakkan kesalahan kepada pemain kerana mereka sudah berusaha di tambah pula lapan pemain kurang sihat dan bukan mudah beraksi di tempat lawan selepas pulang dari Indonesia,” kata Aidil Sharin selepas perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.