FAM akan siasat, ambil tindakan ke atas Jack Hindle dan pengadil sekiranya perlu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Susulan insiden membabitkan pengadil perlawanan dan juga pemain import Kelantan dalam aksi Liga Premier pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam memberitahu badan induk itu hanya akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

Untuk itu, FAM akan meneliti laporan daripada penilai pengadil dan pengadil perlawanan, Amirul Aizat Awang Lodin termasuklah dengan meneliti rakaman video.

“Bagi aspek pertama, FAM akan meneliti persembahan dan prestasi pengadil sepanjang perlawanan itu manakala aspek kedua mengenai tindakan pemain terbabit yang menolak pengadil.

“Berdasarkan perincian laporan, ia boleh dibawa ke Jawatankuasa Pengadil dan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya, jika perlu. Selepas itu semua itu selesai, barulah FAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung insiden ini,” kata Stuart Ramalingam kepada BH Sukan.

Dalam pertemuan antara Kelantan FC dan Perak II di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV itu, insiden tegang tercetus pada minit ke-39 apabila Jack Hindle menolak dengan kasar pengadil perlawanan Amirul Aizat Awang Lodin sehinggakan dia jatuh tergolek.

Amirul Aizat kemudian dilihat meminta maaf kepada Jack Hindle dan meneruskan perlawanan, tetapi bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh pula berpandangan kesalahan itu sepatutnya dihukum dengan layangan kad merah kerana ia termaktub di bawah undang-undang kelakuan ganas.

Malah menurutnya jika Jack Hindle terlepas dari dikenakan hukuman, ini akan mendorong pemain lain untuk melakukan perkara sama di masa akan datang.

Berita berkaitan : Jack Hindle sepatutnya dilayang kad merah kerana mengasari pengadil

Klip video insiden itu tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong namun rata-rata berpendapat Jack Hindle tidak bersalah kerana ianya Amirul Aizat yang berada pada kedudukan yang salah apabila dia meluru masuk ke dalam kotak penalti ketika Kelantan FC mengatur serangan sehingga menganggu pemain daripada menerima bola.

Kelantan FC bimbingan Marco Ragini tewas perlawanan itu 0-1 dengan mereka gagal menyudahkan deretan peluang sepanjang perlawanan, malah Jack Hindle juga kemudiannya gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua.

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.