FAM anggap TCFC tidak ikhlas kerana sudah banyak tabur janji palsu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan mereka tetap dengan pendirian tidak membenarkan Terengganu City untuk bermain di Liga Premier, meskipun pengurusan pasukan itu menyatakan akan selesaikan hutang tunggakan gaji anggota skuad itu andai FAM menarik semula sekatan dikenakan ke atas mereka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, ini bukan kali pertama pihak pengurusan baru TCFC berjanji sebaliknya sudah banyak kali menabur janji yang akhirnya dimungkiri, malah menganggap janji terbaru ini tidak ikhlas dan sekadar satu umpan untuk beraksi di Liga Premier 2019.

Sambil membidas kenyataan pengurus pasukan, Rezal Abu Bakar beberapa hari lalu, Stuart turut menjelaskan kronologi mengenai janji-janji yang telah ditabur pengurusan pasukan itu serta penaja, Tulangis Maju yang menyatakan akan menanggung sepenuhnya kos pengurusan dan perbelanjaan berkaitan pasukan TCFC bagi tahun 2018.

“Saya pelik kenapa mereka boleh terfikir untuk meletakkan syarat seperti itu, mereka berhutang dan mereka meletakkan syarat untuk selesaikan hutang. Mereka perlu ingat, penyertaan mereka dibatalkan kerana isu tunggakan gaji selama beberapa bulan dan tidak menunjukkan inisiatif untuk menyelesaikannya, bukannya dibatalkan secara suka-suka.

“Pihak yang mengeluarkan kenyataan ini perlu sedar sebenarnya dari awal mereka telah diberi banyak kelonggaran dan tidak memutarbelitkan cerita, mereka cerita untuk meraih simpati ataupun cuba menampakkan seolah FAM bertindak kejam ke atas mereka. Jangan menuding jari kepada orang lain di atas kesilapan sendiri sebaliknya tunjukkan sikap tanggungjawab,” ujar Stuart.

Menjelaskan lebih lanjut, Stuart berkata, kalau diikutkan Terengganu City tidak layak untuk bermain di perlawanan akhir Piala FAM 2018 kerana pada 28 Ogos 2018 iaitu tiga hari sebelum separuh akhir kedua bertemu MOF FC, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menghantar surat kepada FAM bahawa Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus (PBDKN) telah menarik balik lesen terhadap TCFC berikutan masalah tunggakan gaji yang berlarutan.

“FAM kemudian telah memanggil wakil daripada PBSNT dan TCFC bagi membincangkan hal berkenaan dan pada 30 Ogos 2018, FAM menerusi budi bicara telah membuat keputusan menangguhkan penarikan balik lesen berkenaan dan membenarkan TCFC terus beraksi pada separuh akhir kedua itu dan seterusnya final (menentang Selangor United), namun dengan syarat Aku Janji yang telah ditetapkan.

“Aku Janji tersebut menyatakan dengan jelas bahawa kelab tersebut bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar semua hutang yang ditanggung TCFC serta akan menghormati dan mematuhi setiap keputusan yang dibuat atau akan dibuat oleh Jawatankuasa Status FAM mahupun Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan FAM (NDRC FAM) berkaitan tunggakan gaji dan pembayaran pampasan kepada bekas pemain mereka.

“Ianya diserahkan serta ditandatangan oleh Ahli Jawatankuasa TCFC serta Setiausaha TCFC sebagai bukti persetujuan,” ujar Stuart.

TCFC selepas itu muncul juara Piala FAM dengan menewaskan Selangor United 2-0 di Stadium KLFA pada 6 September dan Stuart menjelaskan bahawa FAM pada 12 September 2018 telah menghantar surat kepada TCFC untuk mereka segera menyelesaikan masalah tunggakan gaji selewat-lewatnya pada 29 September 2018.

Malah, menurutnya menerusi surat tersebut juga TCFC sudah dimaklumkan bahawa sebarang wang insentif peringkat kumpulan, deposit penyertaan ataupun hadiah kemenangan mereka berjumlah keseluruhan RM355,000 akan dibekukan FAM selagi semua hutang tidak dijelaskan TCFC mengikut tempoh yang telah diberikan itu.

“Bagaimanapun selepas Aku Janji dibuat dan tarikh pembayaran juga ditetapkan, TCFC tetap berdegil untuk membuat pembayaran tersebut, malah turut dilaporkan bertindak memberikan cek tendang dan mengugut pemain serta pegawai pasukan dalam hal penyelesaian tunggakan gaji itu.

“Jadi tiada siapa yang perlu disalahkan dalam hal ini selain daripada TCFC kerana jika mereka berusaha menyelesaikan tunggakan hutang yang ada ketika itu sebelum atau pada 29 September 2018, sudah tentu mereka sudah boleh beraksi pada Liga Premier 2019.

“Kenapa pula kita nak nafikan hak mereka tanpa sebab, kita tidak mahu masalah sama terus berulang pada musim ini, kalau mereka benar-benar ikhlas, mereka sudah selesaikan semua ini sejak dari awal” ujar Stuart.

Stuart juga menegaskan memandangkan lesen kepada TCFC juga ditarik balik oleh PBSNT dan PBDKN, kelab itu sudah kehilangan hak untuk bertanding.

“Namun begitu, TCFC tidak boleh terus bersikap lepas tangan dan masih tetap perlu menjelaskan baki hutang yang ada kepada pemain dan pegawai tersebut, jika mereka tidak mahu menerima implikasi yang lebih besar selepas ini.

“Mereka perlu mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan baki hutang sedia ada itu mengikut tarikh yang telah ditetapkan iaitu sebelum atau pada 19 Februari 2019.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.