FAM buktikan tiada layanan istimewa terhadap Natxo Insa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menepis persepsi bahawa pemain tengah Johor Darul Takzim, Natxo Insa akan terlepas hukuman kerana menolak pengadil, apabila mengenakan penggantungan dua perlawanan ke atas pemain itu.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang pada Khamis turut mengenakan denda RM10,000 ke atas pemain itu atas tuduhan berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil, Noor Azriel Baharudin dengan menyentuh dada pengadil berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan menentang Perak FC.

“Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod ini di mana pemain ini dikenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu dan baki satu lagi perlawanan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.

“Merujuk kepada Artikel 40 Kod ini, penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah seperti berikut, tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh pihak penganjur:

i) Perlawanan Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim FC lwn Melaka United FC pada Jumaat, 2 April 2021; dan

ii) Baki satu lagi perlawanan adalah ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini.

“Jika pemain ini didapati bersalah mengulangi kesalahan yang sama, baki hukuman penggantungan satu perlawanan ini akan berkuatkuasa dengan serta-merta.

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hanya keputusan berkaitan hukuman denda dibenarkan untuk rayuan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan.

Sebelum ini timbul tanggapan Natxo Insa tidak akan dihukum memandangkan seorang lagi pemain iaitu penyerang import Kelantan FC, Jack Hindle sekadar diberikan amaran keras kerana menolak pengadil secara agresif ketika perlawanan menentang Perak II.

Malah, Alex Goncalves yang membaling bola ke arah pengadil ketika perlawanan antara Melaka United dan PJ City juga hanya diberikan amaran keras.

Hukuman tersebut dianggap melucukan dan tidak akan memberi pengajaran kepada pemain, malah tidak akan membuatkan mereka menghormati pegawai perlawanan oleh bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.