FAM Ditipu? Saifuddin Hairan Dakwaan Tidak Berasas Curran Ferns

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar hairan dengan dakwaan bekas pemain Felda United, Curran Ferns mengenai kononnya badan induk itu senang ditipu pemain import yang mahu mendapatkan status naturalisasi ataupun lebih tepat kerakyatan negara ini.

Curran Ferns mempertikaikan di laman instagramnya pada Selasa tentang kebanjiran pemain naturalisasi di Liga Malaysia dan menyelar FAM kerana mudah meluluskan status naturalisasi pemain-pemain import yang menipu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia sambil menyifatkan ia sebagai satu penghinaan.

“Menarik kerana FAM mahu memberi kerakyatan kepada pemain yang menipu mengenai statusnya bagi mendapatkan pasport untuk tujuan kepentingan peribadi.

“Untuk mewakili Malaysia dan menjadi warganegara, ianya lebih dari sekadar bola sepak. Bagaimana kita boleh benarkan seseorang yang cuba untuk memanipulasi masyarakat dan menipu kepada semua orang hanya kerana namanya kedengaran seperti orang Asia, hanya untuk memenuhkan poket sendiri.

“Ini adalah penghinaan terbesar dan seperti mendapat tamparan keras di muka. Tunjukkan dokumen anda yang mengatakan anda mempunyai keturunan Malaysia kerana anda telah bercakap kepada media untuk satu masa yang lama.

“Sekarang anda perlu buktikan atau meminta maaf kepada rakyat kerana menipu dan biarkan rakyat untuk menilai sama ada anda layak untuk menjadi warganegara Malaysia atau sebaliknya,” katanya.

Menganggap ia sebagai tuduhan tidak berasas, Saifuddin berkata FAM tidak ada kuasa untuk memberi status naturalisasi kepada mana-mana pemain dan semuanya diuruskan oleh pihak kerajaan mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

“Bukan kita yang luluskan permohonan naturalisasi, tetapi pihak kerajaan menerusi JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Yang bagi status naturalisasi ini JPN, jadi bermakna dia kena ikutlah perlembagaan negara, sama ada mak dia orang Malaysia atau bapa dia orang Malaysia dan sebagainya.

“Dari segi kerakyatan, ini bukan FAM yang kemukakan, ia di bawah Kementerian Dalam Negeri yang menyokong, bukan kita. Semua ini di bawah kerajaan, FAM tiada berkaitan mengenai perkara ini,” ujar Saifuddin kepada Arena Metro.

Dan buat kesekian kalinya Saifuddin menegaskan bahawa FAM sudahpun menghentikan sementara program naturalisasi, namun tidak menghalang kelab untuk menaturalisasikan pemain import yang memenuhi kriteria.

“Terpulang kepada FA dan kelab seperti mana pernah dimaklumkan oleh Presiden FAM yang kelab boleh buat naturalisasi, tetapi FAM tak buat lagi. Kalau kelab fikir yang pemain itu layak atau pemain itu boleh untuk naturalisasi, mengapa tidak. Cuma FAM tak ada campur tangan dalam hal ini,” tambahnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.