FAM Gantung Kesemua 4 Pengadil Perlawanan Kelantan – Negeri Sembilan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah tegas menggantung kesemua pengadil perlawanan antara Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC pada 27 Ogos lalu, susulan insiden pertukaran pemain.

Pada perlawanan tersebut, pengadil keempat iaitu Muhammad Faizal Talib telah membenarkan permintaan Kelantan FC untuk membuat pertukaran buat kali keempat (sedangkan hanya tiga kali pertukaran sahaja dibenarkan di dalam peraturan).

Pengadil Saifuldin Abu Bakar serta dua pembantunya Sayed Ahmad Al-Quraisy dan Nazri Ghazali juga terlepas pandang perkara tersebut sekaligus membolehkan Kelantan melakukan pertukaran pada masa kecederaan.

Negeri Sembilan yang tewas aksi tersebut dengan keputusan 1-2, kemudiannya membuat bantahan pada 30 Ogos namun sayang sekali walaupun Malaysian Football League mendapati pegawai perlawanan membuat kesilapan, Negeri Sembilan tidak mendapat sebarang keuntungan daripada protes itu.

Sebaliknya Kelantan FC diberikan amaran keras dan didenda RM30,000 yang mana masuk ke dalam poket MFL.

Baca : Tidak Wajar Kelantan Dihukum Atas Kesilapan Pegawai Perlawanan – Zamsaham

Baca : Negeri Sembilan Buat Bantahan Tapi MFL Yang Dapat RM30,000?

Manakala pengadil perlawanan pula menerima natijah mereka hari ini selepas berakhir Mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM secara dalam talian yang dipengerusikan oleh Dato’ S. Sivasundaram.

FAM dalam satu kenyataan memaklumkan telah menilai dan meneliti keseriusan insiden berkenaan dalam mesyuarat tersebut dan selepas berbincang secara panjang lebar mengenai prestasi empat pegawai perlawanan tersebut, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan seperti berikut :

i) Keempat-empat pegawai perlawanan tersebut telah digantung tugas selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

ii) Selepas tamat penggantungan itu, kesemua pegawai perlawanan tersebut seterusnya akan hanya dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia selama sembilan bulan.

iii) Mereka juga akan dirujuk kepada Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri dan Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum boleh dinaikkan semula bagi mengadili perlawanan Liga Premier selepas tempoh tersebut.

FAM berharap agar insiden yang telah berlaku ini akan menjadi pengajaran berguna kepada kesemua pengadil kebangsaan supaya menjalankan tugas dengan penuh fokus dan komited pada setiap perlawanan yang akan datang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.