FAM hukum pengadil dan semua pegawai perlawanan Uitm FC vs KL City

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bukan salah Shukor Adan, sebaliknya pengadil perlawanan gagal mengesan kesalahan dilakukan pemain veteran itu yang menggunakan tangan untuk menjaringkan gol pada masa kecederaan perlawanan antara Kuala Lumpur City dan Uitm FC, pada Sabtu lalu.

Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai insiden gol ‘tangan tuhan’ Shukor Adan yang menjadi bualan hangat penyokong bolasepak tempatan.

“FAM melalui Jawatankuasa Penilaian Pengadil mendapati pengadil perlawanan gagal mengesan kesalahan memainkan bola dengan menggunakan tangan oleh Shukor dan seterusnya mengesahkan jaringan tersebut.

“Suasana padat dalam kawasan penalti di samping dengan kehadiran penjaga gol Kuala Lumpur City FC yang turut berada dan mencabar untuk bola tersebut ditambah dengan kepantasan bola dan pada sekali imbas kelihatan seperti bola mengenai kepala pemain pertahanan UiTM FC menjadikan situasi ini agar sukar bagi seseorang pengadil melakukan keputusan.

“Persatuan melalui Unit Pengadil sentiasa tekankan aspek posisi pengadil yang melibatkan jarak dan sudut pandangan, jangkaan fasa permainan dan ‘dropping zone’ bagi bola aerial (udara), fokus dalam perlawanan terutama minit-minit terakhir serta kerjasama antara kesemua pegawai perlawanan agar dapat memberikan keputusan yang sewajarnya akan tindakan-tindakan pemain dalam perlawanan.

“Ternyata dalam situasi ini kesemua pegawai perlawanan kurang menitik beratkan aspirasi yang telah digariskan dalam memberikan satu keputusan yang tepat.

“Justeru, tindakan yang sewajarnya akan dikenakan kepada semua Pegawai Perlawanan yang bertugas pada perlawanan tersebut kerana kealpaan mereka dalam mengesan kesalahan memainkan bola dengan tangan sehingga mengubah keputusan perlawanan,” tegas Dato’ Sivasundaram.

Jaringan Shukor Adan itu bukan sahaja menyelamatkan satu mata berharga buat KL City bimbingan Bojan Hodak, tetapi menafikan Uitm FC kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2021 lantas menimbulkan kemarahan Frank Bernhardt.

Pengendali dari Jerman itu berpendapat pengadil yang mengadili perlawanan tidak layak untuk berada di Liga Super sambil menyifatkan ia keputusan terburuk pernah disaksikan dalam karier kejurulatihannya.

Sebagai rekod, gol tersebut turut menyaksikan Shukor Adan yang berusia 42 tahun kini memegang status sebagai penjaring gol tertua dalam saingan Liga Malaysia, mengatasi rekod dipegang Amri Yahyah selama 15 hari.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.