‘FAM jatuhkan hukuman yang belum pernah dibuat orang’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 ke atas Natxo Insa berikutan kesalahan menolak pengadil ketika perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Perak FC pada 21 Mac lalu.

Ada dua perkara yang menarik perhatian ramai tentang hukuman yang dijatuhkan itu; pertamanya ada yang menganggap hukuman ke atas pemain tengah JDT itu tidak adil kerana Jack Hindle (pemain Kelantan FC) yang menolak pengadil secara agresif terlepas tanpa hukuman tegas.

Jadi timbul pertikaian kenapa kesalahan sama dijatuhkan hukuman berbeza, atau hukuman ke atas Natxo Insa sekadar untuk menutup mulut penyokong yang mahu dia dihukum?

Yang kedua, pelaksanaan hukuman gantung perlawanan – hanya penggantungan satu perlawanan dikenakan terlebih dahulu manakala satu lagi penggantungan ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain itu dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.

Dan ini disifatkan pelik, serta tidak pernah dibuat orang oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah.

“Untuk hukuman denda, saya rasa berpatutan dan rayuan pun boleh dibuat. Tetapi kadang kala denda itu boleh diturunkan atau dinaikkan bergantung kepada Jawatankuasa Rayuan.

“Tetapi untuk jumlah penggantungan perlawanan seperti dikenakan itu, saya berpendapat agak pelik kerana satu secara automatik dan satu lagi ditangguhkan pula mengikut keadaan pada masa depan. Kalau dikatakan dua perlawanan digantung, maka dua perlawananlah penggantungan perlu dilakukan. Saya rasa tidak pernah lagi hukuman penggantungan dibuat seperti ini,” katanya kepada BH Sukan.

Manakala bekas Pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh yang sebelum ini menganggap hukuman ke atas Jack Hindle sebagai melucukan, bertanya sekiranya hukuman ini memberikan mesej yang jelas iaitu keganasan perlu dihentikan dalam bola sepak?

“Saya biarkan pihak di luar sana membuat penilaian mereka sendiri. Hukuman pada hari ini akan menjadi panduan bukan setakat kepada Liga Malaysia (Liga M) tetapi juga perlu difikirkan kesannya kepada semua pihak yang menguruskan pertandingan bola sepak di negara ini dalam pelbagai peringkat.

“Bagaimanapun, eloklah sesuatu hukuman itu dirujuk kepada kes terdahulu yang pernah berlaku membabitkan Liga M. Jika tidak mengikut Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekalipun, guna dan hormatilah keputusan yang pernah dibuat Jawatankuasa Disiplin terdahulu,” ujar Subkhiddin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.