FAM, MFL kena main peranan selamatkan kelab kecil jika liga dibatalkan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin akur nasib Liga Malaysia 2020 kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ susulan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa semua pertandingan bolasepak tidak dapat diteruskan meskipun selepas Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

Namun jauh di sudut hati, Sulaiman masih menaruh harapan agar saingan Liga Malaysia dapat diselamatkan.

Menurutnya jika usaha kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19 mula menunjukkan tanda-tanda sukses, maka saingan Liga Malaysia sewajarnya dipertimbang untuk diteruskan dengan prosedur ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jika liga dibatalkan juga, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Malaysian Football League) perlu ada satu garis panduan dalam perbincangan kontrak antara pengurusan dan jurulatih. Dalam situasi ini persatuan dan kelab juga terkesab, MFL dan FAM wajar mewujudkan pelan bantuan agar kelab dan persatuan boleh terus ‘hidup’ atau dapat menyediakan pasukan untuk tahun hadapan.

“Pastinya selepas pandemik ini ekonomi negara belum tentu stabil malah penaja-penaja pun akan lebih mengawal perbelanjaan mereka. Bagaimana persatuan atau kelab nak survive jika MFL dan FAM tidak membantu dalam aspek kewangan.

“Yang perlu ada sekarang ialah kaedah menyelamatkan kelab-kelab kecil dan persatuan yang benar-benar bermasalah pada ketika ini. Saya percaya MFL dan FAM di bawah kepimpinan Datuk Hamidin (Mohd Amin) sentiasa mencari jalan dalam memastikan kelansungan liga dan melihat segala masalah dihadapi kelab dan persatuan,” kata Sulaiman kepada Labola Malaya.

Sebagai rekod, penangguhan liga sejak 16 Mac lalu disebabkan Covid-19 telah mengakibatkan beberapa persatuan berdepan masalah kewangan berikutan tiada pendapatan daripada jualan tiket malah penaja juga meminta penangguhan bayaran, sehingga mengakibatkan tindakan pemotongan gaji terpaksa diambil.

Antara pasukan yang telah mencapai persetujuan pemotongan gaji dengan pemain serta pegawai setakat ini adalah Felda United, Selangor, Melaka United, Kuching FA dan UKM FC sendiri.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.