UKM FC sudah berjaya melengkapkan dokumentasi untuk pelesenan dan penswastaan pasukan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan sekaligus lulus untuk diberikan lesen kebangsaan bersyarat, tetapi masih ada penjelasan yang perlu mereka berikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ini berikutan timbul keraguan akan kekuatan kewangan pasukan itu selepas melihat nama ketua jurulatih pasukan itu Sulaiman Hussin berada dalam senarai pengarah syarikat yang akan menguruskan pasukan itu musim depan, Varsity Boys Sdn Bhd.
“Kita tiada sebarang sikap prejudis, ini adalah satu prosedur normal untuk mendapatkan penjelasan sahaja.
“Sebagai contoh Sulaiman adalah ketua jurulatih, tiba-tiba nama ada sebagai pengarah syarikat, dari mana sumber kewangan beliau ataupun syarikat itu, atau adakah kewangan yang dimiliki itu kukuh.
“Jadi FAM menerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional meminta mereka menyediakan dokumen berkaitan terutama berkaitan aspek kewangan.
“Perkara terbabit penting bagi sebuah pasukan dan tidak mahu perkara terbabit timbul pada masa akan datang,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pada Isnin.
Tambah Stuart Ramalingam, UKM FC diberi tempoh selama 14 hari sehingga 19 Oktober untuk menjawab dan mengemukakan dokumen yang diminta dan sekiranya gagal boleh dikenakan hukuman termasuklah lesen bersyarat yang diberikan berkemungkinan besar akan ditarik balik.
Sementara itu, FAM turut mengumumkan bahawa tiga pasukan Liga Premier iaitu Kelantan United FC, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan telah lulus untuk diberikan lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Premier 2021 atau Liga Super 2021 (jika layak).
Manakala lima pasukan iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kuching FA, Sarawak United dan UKM FC pula diberikan lesen kebangsaan bersyarat.
Bagi pasukan Liga Super pula, 10 pasukan lulus diberikan lesen kebangsaan iaitu Felda United FC, UiTM FC, Johor Darul Ta’zim FC, Kedah, PDRM FA, Perak, Petaling Jaya City FC, Sabah, Selangor dan Terengganu FC.
Manakala dua lagi pasukan iaitu Pahang dan Melaka diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat.
Felda United bagaimanapun telah mengumumkan mahu menarik diri dari saingan musim depan manakala pasukan yang mendapat lesen bersyarat perlu melengkapkan keperluan yang disyaratkan itu sebelum atau pada 31 Oktober 2020.