FAM pujuk Zamsaham, ajak selesai pergeseran cara keluarga

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu pergeseran dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berpanjangan.

Justeru, badan induk bolasepak tanah air itu berharap salah faham yang tercetus antara mereka, Norizam serta Malaysian Football League (MFL) akan dapat diselesaikan dengan cara baik.

Menurut Timbalan Presiden FAM yang juga ahli lembaga pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, “Orang macam Zamsaham tidak ramai. Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit mereka sendiri dengan banyak.

“Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai dan membantu industri bola sepak negara. Eloklah kita selesaikan salah faham ini dengan cara baik. Saya diberi mandat untuk menjemput Norizam berbincang dengan baik bersama Stuart (Ramalingam) dan Dato’ Ghani (Hassan) dalam tempoh terdekat ini.”

Sebagai makluman, pergeseran antara Zamsaham serta FAM dan MFL bermula selepas Bernama melaporkan kenyataan Stuart Ramalingam berhubung pemotongan mata ke atas pasukan itu jika tidak menyelesaikan tunggakan gaji.

Zamsaham yang beranggapan ia sebagai tidak adil untuk Kelantan FC dihukum disebabkan kesilapan Persatuan Bolasepak Kelantan kemudiannya memberi teguran kepada FAM supaya bertindak lebih bijak selain melontarkan beberapa pertanyaan khususnya mengenai pembayaran hak penyiaran serta bayaran elaun pengadil yang masih belum diterima mereka daripada MFL.

Sebagai jawapan balas CEO MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan memberitahu pertanyaan Zamsaham itu tidak berasas kerana MFL sudahpun menjelaskan semua bayaran hak penyiaran bagi tahun lalu.

Begitupun, Zamsaham tidak sekadar mengangguk dengan jawapan yang diberikan Abdul Ghani itu, sebaliknya mempertahankan apa yang dikatakannya.

“Start saya ambik Kelantan FC dari bulan 9 tahun lepas, hingga hari ini tiada satu sen bayaran yang sepatutya Kelantan FC terima hasil kutipan Online MyCujoo, MFL Email pertanyaan sudah dihantar, tetapi belum dapat.

“Alasan dari MFL adalah Covid19, dan tiada tajaan. TETAPI duit siaran perlawanan dari MYcujoo dibayar tunai oleh semua penonton. So, kenapa bahagian TRW tidak dibayar? Email dah dihantar. Terkejut beruk aku duit pengadil pun pasukan kena bayar, lepas tu bila claim MFL dah masuk 5 bulan tak dapat. Demand Letter dah dihantar,” ujar Zamsaham.

Tambahnya lagi, “MFL hutang Kelantan FC RMxxk belum selesai, tapi MFL minta RM25,000 sebagai yuran penyertaan ke Liga Perdana. Walaupun susah, kami usaha dan kami dah pun bayar RM25,000 tu. Aku bukan gila glamour, aku hanya nak bagi tahu tolong jangan buli Kelantan FC. Hak tetap hak.”

Terdahulu, Norizam turut memohon MFL supaya bertindak dengan lebih telus dan profesional selain menengaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan atau menimbulkan tanggapan negatif terhadap MFL mahupun Liga M.

“MFL perlu lebih telus dan profesional dengan cara mengadakan mesyuarat, perbincangan, perjumpaan atau pertemuan antara pihak-pihak antara lainnya pemilik kelab.

“Selain itu, mengemukakan dan membentangkan akaun, transaksi dan semua urusan kewangan berkaitan MFL, bagi meningkatkan kredibiliti, ketelusan dan pematuhan oleh semua pihak dengan lebih efektif di tahap yang tertinggi.

“Setakat hari ini, Kelantan FC masih belum menerima sebarang laporan audit akaun MFL terdahulu atau memberikan tarikh mesyuarat agung tahunan serta lain-lain cara, inisiatif atau usaha yang dirasakan perlu dan penting bagi membolehkan mutu dan kualiti Liga M dipertingkatkan dari segenap aspek termasuklah pengurusan.

“Apa yang dibuat adalah dengan satu misi iaitu untuk meningkatkan kredbiliti, ketelusan dan urustadbir korporat yang baik untuk meningkatkan taraf dan nilai keseluruhan Liga M,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.