FAM selamatkan KAFA sekali lagi, adakah adil buat Melaka dan PDRM?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi menjadi ‘penyelamat’ kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) apabila badan induk itu melanjutkan sekali lagi tempoh pembayaran hutang tunggakan gaji pemain tempatan yang sepatutnya diselesaikan persatuan bermasalah itu pada 30 Jun sehingga 31 Ogos.

Ini menyaksikan KAFA terlepas daripada hukuman pemotongan tiga mata dan mereka kini yakin boleh selesaikan tunggakan gaji dalam tempoh masa yang ada seterusnya lulus syarat pelesenan ditetapkan bagi mendapat lesen kebangsaan untuk terus beraksi dalam Liga Premier musim depan.

Menurut Setiausaha Agung, Hussin Deraman, “Kita dapat satu peluang baik apabila FAM setuju dengan rayuan kita di mana tempoh 30 Jun sebelum ini dilanjutkan sehingga 31 Ogos. Ini amat membantu kerana memberi masa untuk kita selesaikan semua kriteria pelesenan kelab.

“Sebenarnya, tunggakan itu dalam bentuk jadual pembayaran. Jadi, apabila timbul masalah COVID-19, pembayaran itu tergendala tetapi kita sedang berusaha supaya boleh mulakan pembayaran jadual itu seperti sedia kala sebelum 1 Ogos ini.

“Kami optimis peluang KAFA mendapatkan lesen itu cerah. Kita sentiasa berusaha keras untuk mematuhi jadual yang dipersetujui bagi mengelak dikenakan pemotongan mata,” katanya selepas delegasi KAFA mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Khamis.

Sebagai rekod, KAFA pada mulanya telah diberi tempoh sehingga 30 April untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji sepertimana telah dipersetujui dengan pemain dan pegawai yang terlibat.

Pada awal Jun lalu Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam memberitahu tempoh itu dilanjutkan ke 30 Jun kerana penularan Covid-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kegagalan menyelesaikannya akan menyebabkan mereka dikenakan pemotongan tiga mata.

Dengan lanjutan tempoh kali kedua ini, ia mungkin menyelamatkan KAFA buat seketika.

Tetapi adilkah keputusan ini kepada dua pasukan Liga Super PDRM FA yang dikenakan penolakan tiga mata sebelum Liga Super 2020 bermula, serta Melaka United yang ditolak tiga mata pada Mac lalu disebabkan masalah yang sama.

Mungkin dua pasukan itu mengharapkan FAM berlaku adil kepada semua pasukan, atau mungkin juga nengharapkan mendapat layanan sama seperti KAFA?

Foto : Kelantan FA Official

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.