FAM : Subkhiddin berkata demikian mungkin kerana gagal bawa perubahan diimpikan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kenyataan bekas pengadil nombor satu negara Subkhiddin Mohd Salleh bahawa badan induk itu menganaktirikan keperluan dan kepentingan pengadil sehingga gagal membangunkan pengadil berkualiti disangkal Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dali Wahid.

Subkhiddin yang juga bekas Exco FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil turut mempersoalkan mengenai program pembangunan buat pengadil yang mana menurutnya diabaikan FAM.

Tetapi menurut Dali Wahid, “Itu hanya pandangan peribadi beliau dan kita belum sampai ke tahap gagal seperti dimaksudkan lagi pun dia mungkin menerajui jawatankuasa berkenaan agak terhad dan tidak sempat membawa perubahan yang diimpikan.

“Jadi dia berasa gagal melahirkan pengadil-pengadil (berkualiti), tetapi daripada pembangunan, kami ada usahakan. Kalau nak kata kami tidak mengadakan program atau menganaktirikan sesiapa, itu tidak benar dan tidak akan dibiarkan begitu.

“Kami juga tidak menafikan mengenai masalah tertentu pengadil yang belum dapat diselesaikan tetapi kami sentiasa cuba memperbaiki kelemahan dan berusaha melahirkan pengadil berkaliber dan pada masa sama kita hargai jasa Subkhiddin,” ujar Dali Wahid.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili FAM menerima jersi baharu untuk pengadil tajaan Kronos yang akan mula dipakai apabila saingan Liga Super dan Liga Premier kembali bersambung pada 28 Ogos ini.

Kronos, jenama sukan tidak asing di negara ini merupakan penaja rasmi pakaian pengadil Liga Malaysia bagi musim 2019 hingga 2021.

Tampil dengan rekaan terbaharu berwarna oren, jersi baharu berkenaan akan memberikan kesegaran dan semangat kepada para pengadil untuk kembali beraksi selepas saingan Liga Malaysia 2020 tertangguh lebih lima bulan sejak Mac lalu akibat Covid-19.

Sementara itu mengenai perancangan dan kerjasama masa depan Kronos selain dengan FAM, Pengerus Besar Paragon Vest Sdn Bhd (Kronos Malaysia) berkata pihaknya sedang berunding dengan dua pasukan Liga Premier iaitu satu di Selatan dan satu lagi di Pantai Timur Semenanjung untuk penajaan jersi pemain pasukan.

“Setakat ini susah hendak mengesahkan sebab ada dua tiga pasukan dalam perbincangan kami dan mengharapkan dalam tempoh sebulan dua lagi akan dapat maklum balas pasukan itu,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.