FAM tak serius dapatkan Jaami Qureshi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tatkala penyokong-penyokong bolasepak tanah air optimis pasukan negara akan diperkuatkan kelibat pemain berdarah kacukan Jaami Qureshi di masa akan datang, kenyataan bapa pemain itu pula seolah memberi bayangan hasrat itu tidak akan menjadi kenyataan.

Bapa Jaami Qureshi, Perviz Qureshi mendedahkan pemain itu mungkin akan memilih mewakili pasukan kebangsaan Iraq memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia tidak pernah serius di dalam usaha mendapatkan pemain berusia 17 tahun itu yang beraksi dengan skuad B-17 Brighton & Hove Albion.

“Tiada siapapun dari FAM menghubungi kami melainkan Iraq yang kerap berhubung dan dari situ anda boleh fikirkan pilihan yang mungkin ada,” katanya seperti yang tular di media sosial ketika ini.

Jaami Qureshi merupakan pemain berdarah kacukan Iraq-Malaysia, bapanya berasal dari negara Arab itu manakala ibunya berbangsa Melayu dan berasal daripada Manjoi, Perak.

FAM pernah menghubungi Jaami Qureshi pada 2019 dan 2020 untuk beraksi dengan skuad B-19 tahun negara dalam saingan Kejuaraan AFC di Uzbekistan, namun saingan itu terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Jika dia memilih untuk bersama Iraq, ia akan menjadi satu lagi tamparan buat Harimau Malaya yang sebelum ini telah kehilangan peluang mendapatkan khidmat Isaac Angking yang memilih untuk menyarung jersi Puerto Rico.

Kalau dilihat kepada perkembangan semasa, penyokong-penyokong dilihat lebih terbuka untuk menerima kelibat pemain berdarah kacukan berbanding naturalisasi malah dalam skuad terbaru Harimau Malaya terdapat sekurang-kurangnya enam pemain berdarah kacukan.

Mereka adalah Brendan Gan, Matthew Davies, Corbin Ong, Samuel Sommerville, Junior Eldstal dan pemain berpengkalan di Denmark, John Dion Cools.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini ada memberitahu bahawa badan induk itu bersikap terbuka di dalam memberikan peluang kepada lebih ramai pemain berdarah Malaysia yang berpangkalan di luar negara untuk memperkasa skuad Harimau Malaya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.