FAM Takkan Dapat Dah Seorang Presiden Sehebat Hamidin – Bung Mokhtar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menganggap desakan supaya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berundur kerana kegagalan di Piala AFF Suzuki 2020 sebagai mengarut dan langsung tidak boleh diterima.

Menurutnya Hamidin telah membawa banyak kejayaan kepada arena bolasepak tanah air sejak memimpin badan induk itu pada Julai 2018 dan berpendapat FAM beruntung mempunyai seorang presiden sehebat Hamidin.

“Takkan hanya kerana skuad Harimau Malaya gagal di Piala Suzuki AFF 2020, kita semua mahu mendesak supaya beliau letak jawatan? Sedangkan baru saja pada Oktober lalu, skuad B-22 kebangsaan kendalian Brad Maloney berjaya layak selaku 16 pasukan terbaik ke Piala Asia B-23 2022. Adakah ketika itu FAM dipimpin oleh presiden lain?

“Begitu juga ketika skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 dan pada prestasi terbaik meraih kemenangan ke atas Thailand dan Indonesia pada November 2019 dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, siapa Presiden FAM ketika itu? Masih Hamidin juga.

“Sudah tentu Hamidin memiliki kredibiliti yang diperlukan sebagai seorang presiden dan tidak timbul yang FAM kini dipimpin oleh individu yang tak reti pasal bola kerana beliau seorang yang berpengalaman luas, 30 tahun dalam bola sepak dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Boleh dikatakan dalam tempoh singkat sebenarnya iaitu sejak beliau menjadi Presiden FAM pada Julai 2018 dan ditolak dengan gangguan pandemik COVID-19 selama dua tahun pada 2020 dan 2021, saya kira Hamidin sudah cuba melakukan yang terbaik.

“Jadi bagi saya, desakan supaya Hamidin letak jawatan sebagai Presiden FAM adalah tidak wajar. Sebaliknya beliau masih relevan dan biarlah beliau meneruskan mandat yang diberi oleh ahli gabungan FAM untuk tempoh penggal yang ditetapkan iaitu dari 2021 hingga 2025 ini,” kata Bung Moktar kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, di bawah kepimpinan Hamidin, selain muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018, Malaysia juga berjaya menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018, menduduki tempat ketiga Kejuaraan B-16 AFF 2018, naib juara Kejuaraan Futsal AFF 2018 dan naib juara Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2018.

Ia disusuli pula pada tahun 2019 dengan kejayaan mara ke suku akhir Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFC 2019, naib juara Kejuaraan B-18 AFF 2019, serta layak ke Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 (tetapi dibatalkan kerana COVID-19).

Bung Mokhtar juga menegaskan bahawa sekiranya Hamidin berundur sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan masalah sambil menasihatkan penyokong tidak terbawa-bawa dengan emosi dan terlalu mengikutkan perasaan kerana marah terhadap kegagalan skuad Harimau Malaya tempoh hari.

“Kredibiliti Hamidin sebenarnya tidak perlu dipertikai lagi kerana di peringkat antarabangsa, beliau mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai Naib Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada Mac 2019, sebelum melepaskan jawatan itu kerana mahu memberi fokus selepas dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bagi penggal 2019-2023, sebulan kemudian.

“Malah ketika Peta Hala Tuju FAM F:30 dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018, kita dapat lihat yang Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut sama hadir, sekali gus menandakan hubungan antarabangsa dimiliki Hamidin cukup baik dan ia diperlukan dalam usaha kita untuk membangunkan serta memajukan bola sepak Malaysia.

“FAM juga akan memulakan pembinaan ibu pejabat baharu dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya pada tahun ini yang mana sebenarnya projek ini sudah lama kita dengar sejak bertahun sebelum ini dan dari presiden-presiden terdahulu lagi. Nampaknya atas usaha keras Hamidin, ia akhirnya terlaksana juga ketika era beliau sebagai Presiden FAM ketika ini.

Kredit Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.