“FAM tidak boleh terus terima hasrat TMJ” – Hamidin

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hasrat Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk diberi peranan menguruskan skuad Harimau Malaya, tidak boleh terus diterima oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berterima kasih di atas kesudian Tunku Ismail menawarkan diri namun menurutnya ada prosedur yang perlu dipatuhi sebelum keputusan untuk menerima atau tidak cadangan itu dibuat.

“Perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan,” ujar Hamidin dalam satu kenyataan rasmi.

Beberapa hari lalu, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) menawarkan diri untuk mengambil alih pengurusan skuad kebangsaan susulan prestasi suram ditunjukkan di kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Saya akan sediakan mereka fasiliti latihan dan jurulatih terbaik. Saya tidak janjikan kejayaan segera, tetapi saya boleh memberi jaminan akan ada peningkatan,” menurut Tunku Ismail.

Hasrat beliau itu mendapat sokongan ramai termasuklah daripada bekas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh dan B.Sathianathan, selain bekas pemain kebangsaan antaranya Azlan Johar.

Sebagai rekod, Tunku Ismail pernah memegang jawatan Presiden FAM selama setahun dari 2017 ke 2018 dan dalam tempoh itu skuad peringkat umur negara (B-16, B-19 dan B-23) mencatat beberapa kejayaan membanggakan.

Beliau juga menegur FAM supaya lebih tegas dan tidak sewenang-wenangnya menaturalisasikan pemain yang pada akhirnya hanya merugikan slot buat pemain tempatan yang lebih berkualiti.

Saranan itu berikutan kekecewaan disuarakan penyokong berhubung prestasi hambar Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi dalam jersi Harimau Malaya. Malah, Mohamadou Sumareh sendiri sudah tidak menyengat sepertimana dulu.

Mengenai perkara itu, Hamidin berkata, “Saya telah mengarahkan sekretariat FAM untuk perkara ini dibincangkan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji tentang keberkesanan program pemain naturalisasi ini.”

Sebelum ini, Program Naturalisasi dikatakan sebagai satu daripada langkah jangka pendek untuk meningkatkan kualiti permainan dan prestasi pasukan kebangsaan di dalam usaha melonjakkan ranking FIFA.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.