FAM tolak tapi FIFA bagi lampu hijau kepada Sumareh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menolak permohonan daripada Police Tero FC untuk mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) buat pemain naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh.

Tetapi Sumareh tetap boleh beraksi dengan kelab Thailand itu berikutan campur tangan FIFA yang mengeluarkan ITC sementara buat pemain itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

“Apabila status kontrak pemain itu dan pasukan diwakilinya masih menjadi pertikaian dalam masa sama tiada keputusan rasmi dari jawatankuasa FAM, ITC yang diminta daripada FA Thailand itu terpaksa ditolak oleh FAM.

“Namun Persatuan Bolasepak Thailand kemudian merujuk perkara ini kepada FIFA dan FIFA sudah mengeluarkan ITC sementara untuk Sumareh,” katanya kepada BH Sukan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam pula berkata meskipun perpindahan Sumareh ke Police Tero tidak dapat dihalang, ia tidak menyekat PBNP untuk mengambil tindakan perundangan ke atas pemain kelahiran Gambia itu yang didakwa tidak hadir ke sesi latihan sejak Julai lalu.

“Perpindahan tidak menghentikan isu-isu yang berbangkit di peringkat domestik.

“Mengikut artikel 22 (FAM), Pahang masih boleh mengambil ke atas pemain itu, begitu juga dengan pemain jika ada asas berbuat demikian.

“Dalam kes ini, walaupun ITC dapat dilaksana (diperoleh) tetapi daripada sudut perundangan, Pahang masih boleh mengambil tindakan.

“Proses itu tidak akan menghentikan (menyekat) perpindahan tersebut, tetapi apa jua keputusan daripada FAM atau FIFA, ia dilihat (menjurus) kepada hukuman seperti denda dan penggantungan – bermacam-macam boleh berlaku.

“Masih terlalu awal untuk mengulas isu ini kerana kes ini pun belum sampai ke (pengetahuan) FIFA dan kami sendiri belum mendapat penjelasan daripada kedua-dua pihak,” kata Stuart Ramalingam kepada Astro Arena.

Sumareh mencetus kontroversi hangat apabila hilang dari kem latihan pasukan Pahang selama lebih sebulan dan selepas itu diberitakan telah membatalkan kontraknya bersama Pahang dengan mengaktifkan klausa 8.7 berkaitan tunggakan gaji.

Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebelum ini menzahirkan rasa kecewa dan melabel tindakan pemain itu sebagai tidak professional serta tidak mengenang budi.

Kredit foto : Sinar Harian

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.