Saturday, July 24, 2021
HomeFutsalFarikh Khabibor, pemain kebangsaan ke-11 perkuat Pahang Rangers

Farikh Khabibor, pemain kebangsaan ke-11 perkuat Pahang Rangers

Kemasukan Farikh Khabibor Rahman ke dalam skuad Pahang Rangers FC baru-baru ini, menjadikan pasukan itu yang akan bermain di Malaysian Premier Futsal League (MPFL) kini diperkuatkan 11 pemain kebangsaan, sekaligus menyaksikan mereka digelar sebagai ‘the Harimau Malaya of futsal’.

Farikh Khabibor, pemain berasal dari Kuala Lumpur yang bermain dengan Perak selama lima musim, dilihat sebagai direct replacement kepada seorang lagi pemain kebangsaan Azwann Ismail yang meninggalkan pasukan awal tahun ini.

Pemain Harimau Malaya lain di dalam pasukan yang diterajui YAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah itu adalah pemain lincah Ridzwan Bakri dan bintang muda Awalluddin Mat Nawi.

Kedua-dua mereka direkrut dari Perak pada 2020 sekaligus menyaksikan trio Farikh Khabibor-Ridzwan-Awalluddin kembali bersatu di bumi Kuantan.

Melengkapkan senarai pemain kebangsaan di dalam skuad adalah Abu Haniffa Hasan, Syafiq Hamzah (penjaga gol), Firdaus Ambiah, Harith Naim Mohd Nasir, Zainal Abidin Hamzah, Akmarulnizam Idris, Khairul Effendy Bahrin dan Saiful Nizam Mohd Ali.

Ini menjadikan pasukan Pahang Rangers bukan sahaja sebagai tumpuan utama dalam MPFL 2021 yang dijadual berlangsung pada Jun depan, tetapi dalam masa sama sebagai pusat latihan skuad kebangsaan.

Pasukan futsal negara tidak berkumpul untuk latihan dan bermain di mana-mana pertandingan sejak tersingkir awal di Kejuaraan AFF 2019 di Vietnam gara-gara Covid-19, dan jika tiada aral akan mengambil bahagian pada edisi tahun ini lantas Pahang Rangers dilihat memudahkan pemantauan pemain dilakukan.

Pasukan naib juara MPFL 2019 itu dibimbing oleh ketua jurulatih dari Sepanyol Gerard Casas dan telahpun turun menjalani latihan rasmi sejak minggu lalu.

Selain nama-nama berprofil tinggi, Pahang Rangers turut mempertaruhkan pemain-pemain muda antaranya Hamdin Zharif Mahmun, Khaiyum Khaimi, pemain berdarah kacukan Mahadir Harahap yang pernah membarisi skuad B-20 kebangsaan, Akram Mukhriz dan Zainulzahin Sinuan.

Sebagai rekod, pasukan Pahang Rangers ketika awal penubuhannya dikenali sebagai Kuantan Rangers dan dijenamakan semula pada tahun 2019 apabila mereka bergabung dengan pasukan futsal negeri Pahang.

Tahun tersebut menyaksikan pasukan ini memberi tentangan sengit untuk mencabar kejuaraan MPFL namun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Selangor, walaupun menjadi satu-satunya pasukan menewaskan mereka pada musim tersebut.

Adalah menjadi visi utama YAM Tengku Fahd untuk mengangkat martabat futsal tanah air agar ia tidak dilihat sebagai sekadar satu sukan riadah seterusnya membawa pasukan Pahang Rangers untuk berdiri setanding pasukan-pasukan terkemuka Asia satu hari nanti.

Demi memastikan impian itu menjadi kenyataan, mereka juga membina kerjasama strategik bersama kelab futsal terkemuka Sepanyol, Levante UD dan juga gergasi Asia Tenggara, Chonburi Bluewave selain menghantar pemain-pemain berguru menimba ilmu bersama pasukan Vamos Mataram di Indonesia.

Foto ehsan : FAM

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.