Farizal akui tak yakin dengan pemain muda ketika sertai Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penjaga gol veteran, Farizal Harun mengakui kurang yakin dengan kredibiliti pemain-pemain muda yang membentuk sebahagian besar skuad Kelantan FC ketika dia mula-mula menyertai pasukan itu pada awal musim ini.

Namun persepsinya itu berubah selepas melihat skuad The Red Warriors berupaya memberikan tentangan dan menduduki tangga ketujuh Liga Premier selepas tamat 10 perlawanan, dengan 14 mata hasil empat kemenangan dan dua keputusan seri.

Dia juga gembira melihat mereka semakin mendapat rentak dan ini menguatkan keyakinannya bahawa Kelantan FC akan terus bertambah baik seterusnya memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Premier.

“Jujurnya semasa saya mula-mula datang ke sini, saya tidak berapa yakin dengan pemain-pemain muda kerana semuanya saya tidak kenal kecuali Nurshamil (Abdul Ghani), kerana jarak umur mereka dengan saya agak jauh.

“Masa awal itu memang bergelut kerana pemain import pun ada cara tersendiri tetapi selepas beberapa perlawanan, keserasian sudah nampak antara semua pemain.

“Pemain-pemain muda Kelantan mula pamer peningkatan cuma mungkin aspek pengalaman memisahkan sedikit mereka ekoran membuat kesilapan yang berulang-ulang tetapi bagi saya itu adalah proses pembelajaran buat mereka,” kata Farizal Harun.

Kelantan FC akan berkunjung ke Ipoh untuk menentang Perak II pada 29 Jun depan – perlawanan pertama selepas hampir dua bulan saingan Liga Malaysia berehat – dan Farizal Harun berharap akan terus diberi kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama.

Bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Felda United dan Selangor FC berusia 35 tahun itu merasakan dirinya sudah cergas sepenuhnya dan berada di tahap terbaik ketika ini selepas pulih daripada kecederaan paha.

Bagaimanapun, dia mengakui persaingan merebut tempat sebagai penjaga gol nombor satu cukup sengit memandangkan Kelantan FC mempunyai tiga lagi pemain lain seperti Faridzuen Kamaruddin, Nik Amin Ahmad dan Asfa Abidin.

“Memang saya tidak banyak minit bermain ketika di Selangor serta hanya banyak melakukan latihan sahaja dan bila datang ke sini, saya kena akui kena cari rentak balik.

“Baharu sahaja seminggu berlatih di sini, saya mengalami kecederaan yang agak lama juga dengan terlepas beberapa perlawanan sebelum saya betul-betul pulih semasa Kelantan berdepan Negeri Sembilan.

“Buat masa ini, persaingan bagi merebut tempat masih terbuka kerana belum ada penjaga gol nombor satu atau dua kerana pasukan masih mengamalkan sistem penggiliran.

“Jadi, saya harap akan terus diberi peluang terutama aksi bertemu Perak II pada minggu depan dan berjanji akan berikan 100 peratus serta membantu berdasarkan pengalaman yang saya ada,” katanya yang memenangi Piala Malaysia 2009 dan 2011 bersama Negeri Sembilan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.