‘FAS cuma nak lindungi perjalanan karier Luqman Hakim, bukan ambil kesempatan’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bukannya cuba mengambil kesempatan ke atas Luqman Hakim Shamsudin malah tiada masalah untuk melepaskannya menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk secara percuma.

Pemain muda sensasi kelahiran Kelantan itu telah mendapat panggilan untuk menyertai KV Kortrijk pada 16 Jun depan dan FAS sebelum ini difahamkan meminta pampasan untuk melepaskan pemain itu yang terikat kontrak dengan mereka.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberitahu perbincangan lanjut perlu dilakukan di antara ketiga-tiga pihak (FAS, Luqman Hakim dan KV Kortrijk) sebelum dia dilepaskan dan ia bukan mengenai pampasan.

“Ini sebenarnya lebih kepada penelitian semula kontrak yang ditandatangani Luqman bersama kita sebelum ini. Luqman pun tahu mengenai terma dan klausa yang termaktub dalam perjanjian itu. Apa yang boleh saya katakan, ia untuk menjaga kepentingan Luqman dan demi kebaikan bersama.

“Ini sebab dia umpama pelaburan buat kita dan dia juga aset kepada bola sepak negara. Dia masih muda dan perjalanannya masih jauh, jadi kita perlulah melindungi perjalanan kariernya.

“Beberapa terma inilah yang perlu dipersetujui semua pihak dalam perbincangan ini. Kita memang bersetuju, jadi kita mengharapkan KV Kortrijk pun dapat memahaminya. Apapun setakat ini, kita boleh melepaskannya tanpa sebarang bayaran,” kata Shahril dipetik dari Berita Harian.

Luqman Hakim yang mencuri perhatian ramai di Kejohanan AFC B-16 dua tahun lalu sepatutnya menyertai KV Kortrijk milik usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan pada Mac lalu tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana penularan wabak Covid-19.

Sebelum itu dia sepatutnya terbang ke Cardiff City untuk latihan selama beberapa bulan namun ia juga tidak menjadi kenyataan kerana masalah visa.

Pada ketika itulah Selangor tampil sebagai hero dengan menandatanganinya demi membantu Luqman Hakim untuk mengekalkan kecergasan dan prestasi, selain memastikan dia tidak ‘berkarat’ sementara menanti pemergian ke Kortrijk.

Foto: Stadium Astro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.