FEARLESS, dokumentari kebangkitan JDT menjadi kuasa besar sedia temui peminat

TMJ
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers – sebuah dokumentari lima bahagian yang menampilkan kisah di sebalik tabir kebangkitan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) menjadi kuasa besar bolasepak Asia Tenggara bakal menemui penonton tidak lama lagi.

FEARLESS yang diarahkan bersama oleh Leon Tan dan Tony Pietra Arjuna, diterbitkan oleh Supernova Media yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Ia menampilkan lima episod berdurasi selama 22 minit dengan penceritaan dan sari kata dalam Bahasa Inggeris.

Antara paparan dalam FEARLESS adalah mengenai penghasilan infrastruktur kelas dunia dimiliki oleh JDT FC; dari kemudahan pusat latihan serta Stadium Sultan Ibrahim sehinggalah kepada program akademi remaja yang bukan sahaja membentuk barisan pemain generasi berikutnya tetapi menjadikan Johor dan Malaysia sebagai masyarakat yang lebih berglobalisasi di rantau Asia.

Dengan membawa penonton mengetahui lebih dekat kisah di belakang tabir akan perjalanan epik yang menyaksikan kejayaan diraih JDT, dokumentari yang amat dinantikan ini turut menumpukan kepada kisah-kisah penting tentang kelab yang merupakan antara paling dikagumi di rantau ini.

DOKUMENTARI PERTAMA SEUMPAMANYA

Pemilik pasukan JDT FC dan DYAM Tengku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah: “Sesetengah pihak memandang rendah impian kami tetapi dalam siri eksklusif di sebalik tabir ini menunjukkan projek bola sepak di Johor – Johor Darul Ta’zim FC – tentang bagaimana ia terbentuk dan menjadi kuasa besar yang perlu diberi perhatian.

FEARLESS menampilkan rakaman yang belum pernah dilihat mengenai bagaimana Harimau Selatan menjadi sebuah empayar, perjuangan yang ditempuhi juga kejayaan, serta bagaimana kelab ini diuruskan di belakang tatapan umum dan iltizam kami yang ingin mencapai kejayaan, sama ada di dalam mahupun luar padang”.

Dirakamkan ketika musim 2019/20, FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers memfokuskan bagaimana kelab yang mempunyai cita-cita besar ini membina legasi, politik dalam dunia bola sepak serta cabaran yang dihadapi pemain-pemain sama ada dalam atau luar padang menerusi perspektif daripada beberapa personaliti dalam pasukan JDT di samping kumpulan penyokong yang hebat iaitu “Boys of Straits”.

Hak penjualan antarabangsa bagi siri dokumentari yang pertama seumpamanya di rantau Asia ini telah dimiliki oleh Firma Pelaburan, Penerbitan dan Perlesenan IP Global, 108 Media yang berpangkalan di Singapura dan mereka mensasarkan urusniaga di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif 108 Media, Abhi Rastogi berkata: “Kami amat mengagumi dengan nilai-nilai yang ditampilkan menerusi FEARLESS, ia memberikan inspirasi, nilai naratif yang terhasil di sekeliling sukan ini dan kemampuannya untuk menyatukan seluruh rantau. 108 Media begitu teruja untuk membawakan siri ini kepada penonton di serata dunia dan memaparkan perwatakan yang ditampilkan oleh JDT serta bola sepak di Asia.”

Foto kredit : Nizam Rahman/asiana.my

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.