Walaupun terkilan kerana pasukannya gagal untuk melakar kemenangan sepertimana diharapkan, jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner tetap memuji barisan pemainnya yang mencatat keputusan seri 2-2 menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super pada Selasa.
Pengendali dari Jerman itu menganggap pasukannya telah melakukan yang terbaik apatah lagi mereka menjaringkan dua gol selepas terpaksa beraksi kurang seorang pemain seawal minit ke-22 gara-gara Yazan Al Arab dilayangkan kad merah, seterusnya berjaya membawa pulang satu mata dari tempat lawan.
Kedudukan masih terikat tanpa jaringan ketika Yazan diperintah keluar padang, dan Selangor selepas itu meraih dua jaringan menerusi gol sendiri Nasrullah Johan pada minit ke-35 dan penalti Herlison Caion pada minit ke-50 untuk mendahului 2-0.
Feichtenbeiner mengakui kesilapan di benteng pertahanan meranapkan harapan hasrat skuad the red giants untuk membawa pulang tiga mata tatkala skuad kendalian K.Devan bangkit dengan dua jaringan pada minit-58 dan 75, masing-masing menerusi penalti Herold Goulon dan rembatan jarak dekat Kossi Evanonye.
“Saya rasa kami mendominasi perlawanan pada awalnya sebelum dilayangkan kad merah dan selepas itu corak perlawanan terus berubah tetapi saya boleh katakan mereka tetap melakukan yang terbaik.
“Pemain juga melakukan kesilapan, tetapi kita kena fokus bagaimana untuk mengurangkan kesilapan yang sama itu dan saya tidak mahu bercakap mengenai apa yang telah terjadi selepas perlawanan ini.
“Saya tahu semua menjangkakan kami untuk membawa pulang tiga mata tetapi kita kena terima dengan satu mata ini dan pemain masih mencipta peluang, mendapatkan jaringan walaupun dengan 10 pemain”, katanya selepas perlawanan.
Manakala K.Devan pula berkata, “Saya rasa kita akan berpuas hati sekiranya dapat kutip tiga mata apatah lagi bermain di laman sendiri, tetapi ketinggalan dua gol atas kesilapan sendiri dan kalau kita berjaya ikat 0-0 di separuh masa pertama, mungkin situasi berbeza di separuh masa kedua.
“Pujian kepada semua pemain walaupun ketinggalan, tetapi kita berjaya jaringkan dua gol dan selepas Selangor bermain dengan 10 orang, kita dapat menguasai permainan.
“Bagi saya, Selangor bukan pasukan mudah dan kalau kita tengok rata-rata pemain dalam kesebelasan utama mereka termasuk pemain import, di atas kertas, mereka adalah lebih baik, cuma kita dapat sedikit kelebihan apabila mereka hilang seorang pemain.”