Feichtenbeiner : “Selangor bukan terap DNA Jerman laa!”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika penyokong bolasepak tempatan menyangkakan selama ini DNA Jerman cuba diterapkan dalam Selangor FC, ianya satu tanggapan yang silap.

Ini kerana Pengarah Sukan Selangor FC, Michael Feichtenbeiner memberitahu struktur DNA yang cuba diterap dalam bolasepak Selangor adalah DNA yang dirangka khusus untuk pasukan itu dan bukannya mengikut mana-mana pasukan Eropah.

Feichtenbeiner memberitahu untuk mengikut sepenuhnya ‘DNA Jerman’ atau DNA mana-mana pasukan Eropah secara keseluruhan, ia bukan cara yang terbaik kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

“Ia bukan sesuatu yang boleh diambil bulat-bulat dari mana-mana pasukan yang ada. Ia bukan setakat meliputi cara permainan dan corak latihan namun turut membabitkan mentaliti serta program pembangunan bola sepak yang lebih menyeluruh dari peringkat akar umbi.

“Tetapi kita boleh mempelajari pelbagai perkara baharu dari pendekatan mereka,” katanya kepada BH Sukan.

Tambahnya lagi, pembentukan DNA yang dimahukan akan mengambil masa khususnya selepas banyak perbincangan sudah dilakukan untuk melihat cara bagi mereka mendapatkan corak permainan mengikut kehendak pasukan itu.

“Matlamat besar semestinya fokus pada pasukan utama Gergasi Merah untuk mendapatkan kemenangan. Kita akan lakukannya dengan bahagian DNA SFC yang sedang giat diterapkan satu persatu.

“Kita mahu menghasilkan pemain tempatan dan akademi sendiri untuk menyediakan pemain muda yang sedia beraksi dalam pasukan utama. Bagi mencapai objektif ini, ia perlulah dilakukan secara terperinci dalam setiap aspek seperti sains sukan dan lain-lain.

“Proses penambahbaikan tidak akan terhenti kerana banyak aspek bola sepak moden yang sentiasa ada pembaharuan dan penemuan baharu.

“Kita harus berfikiran terbuka dan melihat bagaimana bola sepak moden berfungsi untuk terus menjayakan DNA SFC ini,” kata Feichtenbeiner.

Sejak dari awal musim ini, Selangor dilabel penyokong serta media tempatan sebagai pasukan ‘DNA Jerman’ berikutan kecenderungan mereka mendapatkan kepakaran dari negara itu.

Feichtenbeiner sendiri merupakan warga Jerman, dan selepas itu mereka melantik jurulatih dari Jerman Karsten Neitzel selain turut membawa masuk dua pemain dari negara itu iaitu Manuel Konrad dan Tim Heubach.

Foto : Selangor FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.