Feichtenbeiner terkejut lawan feeder team pun JDT II turunkan pemain bintang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Selangor II Michael Feichtenbeiner mengakui terkejut melihat Johor Darul Takzim II membariskan pemain-pemain bintang ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Premier pada Ahad sedangkan pasukannya hanya membariskan pemain muda rata-ratanya berumur 22 tahun ke bawah.

Begitupun dia gembira mereka tidak gugup dan dapat menunjukkan permainan menghiburkan serta memberi saingan hebat untuk mencatat seri tanpa jaringan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang disifatkannya sebagai keputusan yang adil.

“Bila saya lihat senarai pemain JDT II, mereka turunkan pemain yang taraf Liga Super dan bukannya pemain taraf Liga Perdana. Rata-rata pemain mereka memiliki pengalaman berbanding saya yang semuanya di bawah 22 tahun.

“Ia satu cabaran besar buat pemain muda saya dan mereka bagaikan tidak hirau kesebelasan pemain JDT II apabila berjaya memberi saingan sehingga sukar buat pemain lawan memenangi perlawanan itu selepas pemain muda SFC II beraksi cemerlang.

“Apa yang saya rumuskan, pemain muda SFC II meraih pengalaman bermakna dalam perlawanan itu tatkala pemain yang disenaraikan adalah bekas pemain Akademi Bola sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan mereka tidak gugup malah kerap menghadirkan cemas terhadap benteng JDT II,” kata Feichtenbeiner.

Antara pemain berprofil tinggi diturunkan JDT II dalam perlawanan tersebut adalah Daniel Anier Norhisham, Syafiq Ahmad, Gary Steven Robbat, Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Gil Sanchez menyifatkan jadual perlawanan yang padat menyebabkan misi mencipta kemenangan tidak kesampaian namun tetapi berpuas hati dengan satu mata yang diraih.

“Pasukan lawan mendapat rehat secukupnya selepas aksi menentang Sarawak, 7 April lalu ditunda manakala kami perlu mengharungi jadual yang padat sehingga pemain saya tampak keletihan.

“Namun satu mata sudah memadai dan kami tidak tewas dalam perlawanan itu. Banyak lagi perkara perlu diperbaiki terutama di posisi serangan apabila kerap gagal mencipta jaringan dan saya percaya pemain akan bangkit nanti,” kata Sanchez.

Selepas tujuh perlawanan, JDT II di tangga kedua Liga Premier dengan 14 mata manakala Selangor II di tangga kelima dengan 10 mata. Mereka bagaimanapun baru beraksi enam perlawanan.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.