Felda United tak jadi tarik diri, akan kembali dengan nama baru!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelab Bolasepak Felda United nampaknya tidak jadi menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan.

Belum ada pengumuman rasmi mengenainya tetapi Labola Malaya difahamkan kesepakatan telah dicapai memandangkan pihak pengurusan terdahulu pasukan itu yang ditamatkan khidmat pada September, mahu sedaya upaya menyelamatkan kelab itu daripada berkubur.

Malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin lalu memaklumkan Felda United telah melengkapkan proses penswastaan pasukan dan diberikan lesen kebangsaan serta lesen AFC untuk bermain di peringkat Asia (sekiranya layak) justeru ia akan menjadi sia-sia andai pasukan itu menarik diri.

Bagaimanapun, difahamkan kelab yang mula beraksi di Liga Malaysia sejak 2007 ini tidak lagi akan mendapat sokongan kewangan daripada FELDA, malah nama dan logo FELDA juga tidak dibenar untuk digunakan.

Justeru itu mereka akan beraksi dengan menggunakan nama baru, kemungkinan besar The Fighters, dan lebih penting perlu berdikari mencari duit sendiri.

FELDA menerusi satu kenyataan media pada Isnin lalu memaklumkan pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan Kelab Bolasepak Felda United dan anak syarikatnya The Fighters Sdn Bhd bermula 1 September 2020 seperti yang telah dipersetujui menerusi Mesyuarat Lembaga Felda.

Mereka menyatakan ia bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan program-program sukan yang dirancang serta dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan dan penilaian risiko.

Serentak dengan pengambilalihan itu juga, mereka menamatkan khidmat 16 kakitangan kelab (pengurusan lama) dengan memberikan mereka notis singkat.

Sebagai rekod, sejak beraksi di Liga Malaysia, Felda United telah mengukuhkan nama sebagai salah satu kelab konsisten dan beberapa kali mencuri tumpuan terutama apabila muncul naib juara Liga Super pada 2016; layak ke final Piala FA 2014 serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia tiga kali pada 2014, 2015 dan 2017.

Selain itu mereka pernah muncul juara Liga Premier sebanyak dua kali pada 2010 dan 2018.

Beberapa jurulatih berprofil tinggi pernah membimbing pasukan itu antaranya Reduan Abdullah, E.Elavarasan, K.Devan, Irfan Bakti Abu Salim dan B.Sathianathan.

Foeto ihsan : Felda United FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.