Ferdinand : ‘Saya tidak pernah fikir tentang trofi yang saya menang, tetapi apa yang saya terlepas’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sepanjang 12 musim bermain bersama Manchester United, Rio Ferdinand telah memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, sekali memenangi Liga Juara Eropah dan dua kali menjulang Piala Liga.

Tetapi bekas pemain kebangsaan England itu mengakui dia lebih banyak memikirkan mengenai trofi yang gagal dimenanginya sepanjang berada di Old Trafford.

Sebagai seorang daripada tonggak zaman gemilang Red Devils yang cukup dominan dan sangat sukar untuk disaingi di peringkat domestik, Ferdinand menyatakan dia sehingga kini masih dihantui kegagalan menjulang satupun Piala FA dan hanya menang satu daripada tiga final Liga Juara-Juara Eropah.

“Masalah saya yang paling besar bukan memikirkan momen indah bergelar juara, tetapi meratapi apa yang saya gagal untuk kecapi, terutama di Manchester United pada ketika mereka adalah pasukan yang terlalu hebat di pentas domestik waktu itu.

“Saya tak percaya kami gagal untuk menang perlawanan itu, menang piala ini, entah macam mana kami boleh tewas kepada Everton di separuh akhir Piala FA 2009 itu? Ia menghantui saya sehingga hari ini, bagai nak gila memikirkan kami tewas perlawanan itu, kami tidak sepatutnya tewas.

“Dua aksi final Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona (2009,2011), sekurang-kurangnya saya mahu menang satu daripada final tersebut, dan begitu juga final Piala FA 2005 menentang Arsenal, kami sepatutnya menang mudah.

“Macam mana kami boleh tewas, sangat sukar dipercayai. Kami mempunyai peluang yang cukup untuk tewaskan mereka dengan mudah tetapi akhirnya Arsenal yang menang menerusi penentuan penalti. Saya masih memikirkannya, hingga ketika ini.

“Mungkin ianya nampak pelik kenapa saya belum dapat melupakannya sehingga saat ini tetapi itulah realiti. Saya tidak lagi bermain dan jujur saya tidak faham, tetapi kegagalan itu berterusan membunuh saya, memikirkan apa yang saya tidak menang pada ketika peluang sudah terhidang depan mata.

TIDAK MUDAH PUAS DAN SENTIASA MAHUKAN LEBIH

“Sesiapa sahaja yang cemerlang dalam arena bolasepak sentiasa mahukan lebih, dan saya sejenis yang tidak mudah berpuas hati apabila sudah memenangi sesuatu, saya mahukan lebih.

“Buktinya cukup jelas, selepas memenangi Liga Juara Eropah 2008, kami ada dua lagi final selepas itu, iaitu empat final dalam tempoh tiga musim, tetapi kami tewas, itu kekal dalam ingatan saya.

“Saya telah mengecapi pelbagai kejayaan, tetapi entah, jauh di sudut hati saya tidak pernah rasa puas. Semua medal kemenangan saya ada tersimpan elok di dalam kotak di rumah, tetapi saya tidak melihatnya sentiasa sambil mengenang kemenangan tersebut, sebaliknya saya fikir sepatutnya ada lebih banyak medal di sini,” ujar Rio Ferdinand.

Trofi terakhir Rio Ferdinand adalah pada 2013 apabila dia menjulang Liga Perdana Inggeris buat kali keenam, pada musim terakhir Sir Alex Ferguson di kelab itu.

Bekas kapten England itu kekal semusim lagi selepas Ferguson keluar, tetapi ia menjadi penamat yang ngeri dalam kariernya bersama Red Devils apabila buat kali pertama Manchester United menamatkan saingan liga di luar kelompok empat teratas dengan menduduki tangga ketujuh.

“Ia menjadi satu kejutan besar kepada semua untuk berakhir di tempat ketujuh kerana pada musim sebelumnya kami muncul juara dengan kelebihan 11 mata di tangga teratas.  Ia adalah pemain yang sama, jadi semestinya semua berasa kekok dengan penamat yang tidak dijangka ini.

“David Moyes mungkin boleh melakukan sesuatu yang lebih baik tetapi untuk menyalahkan dia juga tidak wajar, kerana pada akhirnya ia adalah sesuatu yang kolektif. Hubungan antara David Gill (ketua eksekutif) dan Alex Ferguson telah menjadi instrumen penting dalam kejayaan United, malangnya kedua-dua mereka keluar pada masa serentak dan menyebabkan banyak perkara tergendala,” kata Ferdinand lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.