Fethi Nourine, Atlet Yang Enggan Jumpa Israel Di Olimpik Digantung 10 Tahun

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) menjatuhkan hukuman penggantungan selama 10 tahun ke atas atlet judo Algeria, Fethi Nourine dan jurulatihnya selepas enggan berdepan pencabarnya dari Israel pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada bulan Julai lalu. 

Atlet berusia 30 tahun itu membuat keputusan menarik diri dari pertandingan kerana dia akan menempah pertemuan dengan Tohar Butbul dari Israel jika berjaya menewaskan atlet Sudan, Mohamed Abdalrasool pada pusingan pertama dalam kelas 73kg.

Abdalrasool turut mengambil tindakan sama selepas itu yang membolehkan Tohar Butbul kemudiannya mendapat bye di pusingan kedua dan mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum kecundang kepada atlet Korea Selatan, An Chan Rim.

Fethi Nourine berkata, sokongannya terhadap Palestin membuatkan dirinya tidak mahu bertemu Butbul, membuatkan Jawatankuasa Olimpik Algeria menarik akreditasi dia serta jurulatihnya, Amar Benikhlef dan menghantar mereka pulang dari temasya tersebut.

“kami telah bekerja keras untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, namun perjuangan Palestin lebih besar daripada semua itu. Saya tidak mahu mengotorkan tangan saya. Keputusan ini muktamad.

“Kedudukan saya konsisten dalam isu Palestin, dan saya menolak normalisasi. Saya tidak mahu mengotorkan tangan melawan atlet Israel, dan jika saya tidak bertarung dalam Sukan Olimpik, Tuhan tidak akan menghukum,” katanya ketika itu.

IJF dalam satu kenyataan mengumumkan, “Nourine dan Amar digantung selama 10 tahun selepas mereka didapati bersalah menjadikan platform sukan sebagai tempat mereka melakukan protes dan mempromosikan propaganda politik mahupun agama.

“Jelas mereka telah melanggar Kod Etika dan Piagam Olimpik. Mereka akan digantung daripada menyertai sebarang kejohanan dan aktiviti anjuran kami sehingga 23 Julai 2031.”

Tambah IJF, kedua-duanya bagaimanapun boleh membuat rayuan terhadap hukuman tersebut di mahkamah timbang tara sukan jika mahu.

Ini bukan pertama kali Nourine disingkirkan daripada pertandingan selepas menolak untuk berdepan atlet Israel.

Dia pernah melakukan perkara sama sebelum ini dalam Kejohanan Dunia 2019 diikuti temasya di Tokyo itu yang berakhir pada 8 Ogos lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.